Kuantiti Dan Kualiti Demi Kesejahteraan Rakyat

fullsizerender-28

 

ISKANDAR PUTERI, 8 Sept – Kerajaan Negeri hari ini membentangkan pencapaian kuantitatif dan kualitatif, bagi memberi gambaran yang sebenar dan lengkap agar ia dapat dinilai dengan berfokus dan berobjektif.

Menteri Besar Dato’ Mohamed Khaled Nordin menegaskan, segala kekuatan ekonomi tidak membawa makna jika rakyat tidak mendapat manfaat kesejahteraan hidup.

“Saya percaya kedudukan dan pencapaian dalam aspek ini jauh lebih penting dan kritikal.

“Bacaan yang baik dan tinggi dalam segala peratusan perolehan ekonomi dan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri tidak akan mempunyai makna yang besar sekiranya aspek kesejahteraan dan kelangsungan hidup tidak menerima manfaat yang sewajarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Abd Razak Minhat (BN-Serom), pada persidangan Dewan Negeri Johor mengenai kedudukan pencapaian Kerajaan Negeri terhadap pembangunan dan kemajuannya.

Menurut Mohamed Khaled, Johor telah mencatat pertumbuhan KDNK pada harga malar sebanyak 6.1% untuk tempoh 2011 hingga 2014, 0.7 mata peratusan lebih tinggi berbanding bacaan peringkat nasional iaitu 5.40%.

“Peratusan ini bukan sahaja selari dengan sasaran yang kita tetapkan, malah berjaya dicapai meskipun iklim ekonomi serantau dan dunia kelihatan semakin mencabar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Ia sebenarnya harus dibanggakan, kerana pertumbuhan ekonomi Johor merupakan di antara yang terbaik berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Beliau turut mengulas secara khusus tentang ikhtiar dan pencapaian yang menjurus kepada penambahbaikan kualiti kesejahteraan hidup yang antaranya, meliputi pengurangan kadar kemiskinan, pembangunan modal insan serta peluang pekerjaan, kadar jenayah dan intervensi Kerajaan Negeri dalam aspek kemudahan asas kehidupan.

fullsizerender-29
Foto: Jauhar | Anim Aziz

“Negeri Johor mencatatkan kadar pengurangan kemiskinan yang terbanyak, pada kadar 97% bagi tempoh 2012 hingga 2014, iaitu daripada 7,000 isirumah kepada hanya 200.

“Jurang agihan pendapatan bagi seluruh penduduk negeri Johor juga semakin mengecil dan lebih baik daripada kebanyakan negeri di Malaysia.

Bagi pembangunan modal insan dan peluang pekerjaan, Mohamed Khaled berkata lebih 125,000 peluang pekerjaan baharu dalam pelbagai sektor telah diwujudkan dari tahun 2011 hingga 2015.

“Jika dilihat secara khusus mengikut bidang, sektor pembuatan sahaja secara puratanya telah mewujudkan hampir 20,000 peluang pekerjaan, dengan 92% daripadanya adalah bagi pekerja berkemahiran tinggi dan separuh mahir.

“Ini telah menyumbang kepada peningkatan dalam penengah upah dan gaji yang diterima oleh rakyat Johor, yang telah meingkat kepada RM1,900 pada tahun 2015 iaitu kedua tertinggi selepas Lembah Klang.

“Kadar jenayah juga terus mencatat penambahbaikan dengan penurunan sebanyak 36% bagi tahun 2015 dengan 13,480 kes berbanding 20,970 kes pada tahun 2011.

Bagi aspek kemudahan asas kehidupan, Mohamed Khaled memberi contoh rumah mampu milik, yang terdapat 11 tindakan dan pencapaian utama yang telah dicatakan oleh Kerajaan Negeri sejak Mei 2013 sehingga Jun 2016.

“Ini termasuklah memperkenalkan Dasar Perumahan Mampu Milik Johor dengan penstrukturan semula kategori yang bertujuan memastikan sebilangan harga rumah di Johor adalah mengikut kemampuan rakyat.

“Kerajaan Negeri juga meningkatkan komitmen penawaran RMMJ sehingga tahun 2019/2020 kepada 60,000 buah; angka ini telah desemak sebanyak empat kali selaras dengan jumlah permohonan pembelian RMMJ yang kini mencecah 87,163 sejak tahun 2010.”

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial