Kutipan Zakat RM250 Juta

0106_Zakat
Mohd Rofiki Shamsudin memotong reben pada majlis Hebahan Agihan Zakat Melalui Pengangkutan Awam di pekarangan Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru. (Foto: MAINJ)

 

JOHOR BAHRU, 1 Jun – Majlis Agama Islam Ne­geri Johor (MAINJ) menyasarkan peningkatan kutipan zakat RM11 juta pada tahun ini iaitu dengan jumlah ke­seluruhan RM250 juta berban­ding RM239 juta tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Mohd. Rofiki Shamsudin berkata, sasaran itu yakin dicapai berikutan kesedaran umat Islam, syarikat atau korporat milik orang Islam semakin tinggi selepas banyak program penerangan dilakukan pihaknya.

“Pembayar zakat fitrah juga meningkat dua peratus tahun ini sekali gus akan menjadikan dua juta pembayar zakat fitrah di negeri ini pada 2016 berbanding 1.9 juta pembayar zakat fitrah pada 2015 yang menyumbangkan RM15 juta.

“Selain itu, kita melantik 125 amil agihan zakat di setiap mukim bagi memastikan agihan zakat dapat dilaksanakan dengan berkesan supaya tidak ada golongan atau asnaf yang tercicir daripada mendapat bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan majlis Hebahan Agihan Zakat Melalui Pengangkutan Awam di pekarangan Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini Isnin.

Mohd. Rofiki turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Handal Ceria Sdn. Bhd. yang diwakili Pengurus Besarnya, Mohammad Ramli Mohammad Saad untuk iklan pemberitahuan agihan zakat di badan tiga bas milik syarikat itu.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, kadar bayaran zakat fitrah bagi negeri ini sempena Ramadan kali ini ialah RM6 bagi mereka yang makan beras hancur dan RM8 untuk yang makan selain daripada beras hancur.

Sementara itu, beliau berkata, MAINJ menerima 700 kes memohon sumbangan setakat ini dalam tahun ini dan pelbagai bantuan sudah diberikan antaranya kepada golongan cacat dan ibu tunggal selain baik pulih dan bina rumah baharu.

Jelasnya, MAINJ turut memberi bantuan kepada asnaf dan golongan lain yang memerlukan termasuk penghidap sakit kronik supaya nasib umat Islam terbela terutama apabila membabitkan kos rawatan tinggi.

Mengenai hebahan zakat menerusi pendekatan itu, beliau berkata, akan bermula pada 1 Jun ini yang akan mengambil masa selama setahun dengan mempromosikan dan memberitahu orang ramai agihan zakat yang telah dilakukan pihak MAINJ.

Katanya, bas-bas itu akan menempuh tiga laluan bermula dari bandar raya ini dan berakhir di Taman Setia Indah dengan singgah di 15 perhentian selain berakhir di Taman Kota Puteri (23 perhentian) dan Kota Tinggi (25 perhentian). – UTUSAN

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial