LANGKAH PENGUBAHSUAIAN BAJET 2016 WAJAR UNTUK KESEJAHTERAAN RAKYAT – KHALED NORDIN

12402171_953076338062840_368700632022062148_o

JOHOR BAHARU – Langkah kerajaan mengubah suai Bajet 2016 dilihat wajar bagi memastikan kesejahteraan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan bawahan dalam mendepani keadaan ekonomi yang mencabar tahun ini.
Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata adalah wajar bagi kerajaan merancang perbelanjaan tidak lebih daripada pendapatan negara terutamanya ketika berhadapan dengan cabaran seperti trend kejatuhan harga minyak dunia.

“Yang penting, kita kena tahu kejatuhan harga minyak dunia adalah di luar kawalan kita dan bukan sahaja memberi kesan kepada negara kita tetapi juga memberi kesan kepada negara luar,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Jan yang menyebut akan membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 tidak lama lagi supaya lebih realistik dengan keadaan tahun ini.

Antara pengubahsuaian tersebut termasuk mengoptimumkan perbelanjaan, peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan meneruskan perjuangan kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan telahpun membuat komitmen untuk mengurangkan defisit. Selain itu, kerajaan mahu beri perhatian agar kesan yang menyentuh kepentingan berpendapatan rendah dan bawahan tidak begitu ketara,” katanya.

Antara perkara yang diharapkan terus terpelihara dan melindungi kesejahteraan golongan tersebut termasuklah peruntukan projek air, peruntukan pengangkutan dan projek-projek perumahan.

Menyentuh mengenai memaksimumkan peranan GLC di Johor, Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri sentiasa memastikan kepentingan rakyat secara inklusifnya terpelihara.

“Kita pada setiap masa, zaman susah atau senang, sentiasa memaksimumkan peranan GLC tetapi ukuran kepada GLC bukan kepada untung rugi, banyak GLC rugi kerana banyak elemen subsidi yang kita buat di Johor.

“Ini termasuk peranan mereka dalam projek pembinaan rumah di negeri ini bagi memastikan kesemua lapisan rakyat terutamanya mereka yang perlu dibantu, mampu memiliki rumah sendiri,” katanyaa.

Terdahulu, Mohamed Khaled melancarkan majlis pecah tanah Inkubator Usahawan Johor di tapak Perbadanan Islam Johor Taman Dahlia, dekat Pasir Gudang, dekat sini.- BERNAMA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial