LANTIK, GUGUR MENTERI KUASA PERDANA MENTERI

LEDANG: Semua pihak harus memahami kuasa Perdana Menteri untuk melantik dan menggugurkan barisan menterinya.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata jika ada pihak yang mempersoalkan perkara itu, mereka harus memahami perkara asas tersebut.

“Memang hak untuk melantik ahli jemaah menteri adalah hak Perdana Menteri. Itu harus difahami bahawa beliau yang membuat penilaian dan ini adalah kabinet beliau.

“Jadi kalau kita hendak bersuara atau pun memberi pandangan, kita kena faham asas itu,”  katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri berkata, ahli Umno perlu memanfaatkan cabaran yang dihadapi oleh parti sebagai peluang untuk memperkukuhkan parti dan bukan bertindak mengikut emosi.

“Walau pun kita sedang berhadapan dengan keadaan seperti ini, kita perlu gunakan peluang ini untuk mengukuhkan parti berasaskan cabaran yang kita hadapi.

“Jadi kalau kita hanya bercakap mengenai soal-soal masalah yang kita hadapi sekarang ini, ia tidak akan membawa keyakinan kepada rakyat.

“Oleh itu gunakan peluang ini untuk kukuhkan persefahaman, agar terus kuat dan parti terus relevan untuk memainkan peranannya,” katanya.

Mengenai kemungkinan usul yang dibangkitkan dalam mesyuarat bahagian bahagian di Johor, beliau berkata, beliau tidak dapat mengagak apakah usul yang akan dibincangkan.

“Tetapi haruslah kita ukur tindakan kita itu adakah berasaskan retorik, geram, emosi tetapi tidak mencapai apa-apa. Oleh itu guna peluang dalam persidangan masing-masing untuk sesuatu yang benar-benar membawa kebaikan dan dapat meningkatkan keyakinan rakyat kepada parti,” katanya.

Ditanya apakah bakal ada bahagian-bahagian yang akan membatalkan jemputan kepada Timbalan Presiden Umno untuk merasmikan mesyuarat bahagian-bahagian, beliau berkata hanya ada dua bahagian Umno di Johor yang menjemput beliau iaitu Kluang dan Pontian

“Yang saya tahu dua sahaja dan tiada niat pun mereka untuk batalkan,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial