Lapangan Terbang di Mersing & Pontian Dipertimbangkan

Mohamed Khaled menyerahkan sumbangan kepada Sek Men Foon Yew Seri Alam.

JOHOR BAHRU, 14 Feb – Kementerian Pengangkutan akan menimbang cadangan Kerajaan Negeri untuk membina sebuah lagi lapangan terbang baharu di daerah Mersing bagi menampung keperluan sedia ada dalam sektor pelancongan.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara tersebut telah dibawa dalam perbincangan sewaktu beliau menghadiri Mesyuarat Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), baru-baru ini.

“Hasil daripada mesyuarat tersebut, Kerajaan Pusat meminta Kementerian Pengangkutan untuk mengkaji keperluan bagi pembinaan lapangan terbang baharu di Mersing bagi meningkatkan kemudahan sistem perhubungan selain perancangan menjadikan kawasan itu sebagai hab pelancongan serantau.

“Kajian jangka masa panjang itu mengambil kira projek lapangan terbang di Pulau Tioman yang tidak dapat menampung kapal terbang besar untuk mendarat di situ, dan Mersing adalah kawasan terbaik bagi pelaksanaannya.

“Malah, perancangan Kerajaan Negeri turut melibatkan cadangan untuk mewujudkan sebuah lagi lapangan terbang dan pelabuhan di Pontian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina, anjuran MCA Negeri Johor, di Dewan Raya Taman Bukit Indah, di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi MCA Johor, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan barisan exco kerajaan negeri.

Sementara itu, mengulas mengenai perkara tersebut, Menteri Pengangkutan merangkap Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata cadangan tersebut memang telah diutarakan dalam mesyuarat ECER.

“Ia masih dalam peringkat kajian, bagi membantu pembangunan di pantai Timur terutamanya di kawasan Mersing dan Pulau Tioman.

“Kedua-dua kawasan tersebut adalah penting, maka memang perlu ada lapangan terbang di situ bagi tujuan pelancongan,” katanya.

Pada majlis tersebut Mohamed Khaled turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM500,000 masing-masing kepada Kolej Universiti Selatan, Johor Bahru dan Sekolah Menengah Foon Yew, Cawangan Seri Alam.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial