Larangan Guna Polisterina, Beg Plastik

Ayub Rahmat (dua dari kanan) melakukan gimik perasmian sambil diperhatikan Ismail Ibrahim (kiri), Azman Adman (dua dari kanan) dan Ho Chin Siong dalam majlis pelancaran Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMEC) di Jabatan Pendidikan Negeri, Johor.

JOHOR BAHRU 14 Jun – Kerajaan negeri akan me­lakukan percubaan larangan penggunaan polisterina dan beg plastik di semua pasar raya bermula Julai ini sebelum pelaksanaan keseluruhannya ber­kuat kuasa pada tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, sebelum ini kempen tanpa beg plastik telah dijalankan oleh sesetengah pasar raya pada setiap Sabtu.

Menurutnya, bagi menggalakkan lagi orang ramai menyokong usaha tersebut, kempen yang digerakkan pada setiap Sabtu diperluaskan selama tiga hari iaitu bermula Jumaat hingga Ahad pada masa ini.

“Kita akan terus menggalakkan pihak terlibat untuk me­rancakkan lagi kempen tersebut sebelum pelaksanaan larangan penggunaan polisterina dan beg plastik dilaksanakan sepenuh­nya di negeri ini pada awal tahun depan.

“Pasar raya besar diminta menggunakan bekas daripada plastik bio resin atau mesra alam dan mudah terurai dan dalam tempoh itu juga, kita mengga­lakkan orang ramai membawa beg mesra alam mereka sendiri,” katanya selepas merasmikan Iskandar Malaysia Ecolife Cha­llenge (IMELC) 2017, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim, Timbalan Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adman dan Pengarah Pusat Kajian Rendah Karbon UTM, Prof. Dr. Ho Chin Siong.

Ayub berkata, langkah diambil kerajaan negeri bagi melaksanakan larangan tersebut adalah sejajar usaha mahu mengurangkan penggunaan beg plastik kerana menjadi punca penambahan sampah yang lambat terurai.

Katanya, plastik mengambil tempoh 100 tahun untuk dilupuskan selain tidak mesra alam dan mampu merosakkan bumi sekali gus penggunaan pembungkusan daripada bahan-bahan boleh urai (biodegradable) bagi menggantikan beg plastik dan bekas makanan daripada polisterina dicadangkan untuk digunakan.

“Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Johor (J-Biotech) sedang mencari mekanisme terbaik untuk melaksanakan perkara itu,” katanya. – Utusan

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial