Lawatan Kerja Diteruskan Ke Parlimen Parit Sulong Dan Muar

IMG_4462
Mohamed Khaled bertemu masyarakat India ketika mengadakan lawatan ke Parlimen Kluang pada 17 Januari lalu.

JOHOR BAHRU, 23 Jan – Lawatan kerja Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri ke setiap Parlimen di Johor diteruskan iaitu di Parlimen Parit Sulong hari ini dan Parlimen Muar pada esok.

Ini merupakan lawatan kerja rasmi keempat yang dilakukan pada bulan ini, selepas  Johor Bahru, Kulai dan Kluang yang turut disertai Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Pusat serta wakil daripada pelbagai agensi.

Selain bertujuan meninjau perkembangan semasa pembangunan di setiap kawasan Parlimen, program turun padang ini juga merupakan antara komitmen Kerajaan Negeri bagi melihat sendiri dasar-dasar kerajaan yang dilaksanakan selama ini benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat.

Di Parlimen Parit Sulong, Mohamed Khaled bersama rombongan dijadual akan mengadakan lawatan ke beberapa lokasi termasuklah Pasar Awam Batu Pahat dan Teluk Wawasan.

Dalam lawatan itu, beliau juga dijadual akan menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Masjid Kampung Bintang dan Dewan Raya Parit Guntong serta merasmikan Sekolah Agama Mampan dan Bangunan Balai Islam Pekan Semerah.

Turut akan disempurnakan penyerahan kunci rumah bagi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), penyampaian bantuan awal persekolahan, penyerahan sumbangan kepada sekolah-sekolah Tahfiz dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dalam kawasan Parlimen Parit Sulong.

Selain itu, Mohamed Khaled bersama rombongan juga akan mengadakan ‘walkabout’ di Pasar Pagi Jalan Ibrahim, Pasar MARA Jalan Syahbandar dan Pekan Semerah.

Di Parlimen Muar esok pula, lawatan dijadual akan melibatkan Laman Oleh-oleh Maharani dan Tapak Maharani Uptown.

Turut akan disempurnakan Majlis Perasmian Maharani Uptown dan penyampaian geran hak milik tanah kawasan Parlimen Muar, selain penyampaian borang keahlian Sukarelawan Darul Ta’zim, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial