Lebih 1,000 Koperasi di Johor Ceburi Lima Sektor Utama

IMG_3731resizeIMG_3754resize

12 tersenarai dalam 100 Indeks Terbaik Koperasi Malaysia

Oleh Sofiayana Ellmy Sukor

JOHOR bukan sahaja pesat membangun malah mampu mengeluarkan pelbagai jenis produk termasuk hasil pertanian, ternakan, kraftangan dan industri. Usahawan bidang ini disediakan pelbagai medium oleh Kerajaan Negeri untuk memasarkan produk mereka sama ada secara individu, ataupun melalui koperasi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan  Koperasi, Md Jais Sarday, berkata terdapat lima aktiviti utama diberi penekanan oleh Kerajaan Negeri untuk menggerakkan koperasi di Johor iaitu:

i. Pemborongan dan Peruncitan

ii. Pertanian (Semaian Sawit)

iii. Penternakan Ayam

iv. Ar-Rahnu

v. Rantaian Nilai Pelancongan

Beliau berkata, penetapan aktiviti ini adalah berasaskan kepada Dasar Koperasi Negara 2011-2020 di samping melihat kepada potensi yang ada di Johor.

“Dasar koperasi ini telah memasuki tahun ketiga pelaksanaan dan menyaksikan sektor koperasi terlibat dalam pelbagai aktiviti ekonomi yang menjana perolehan yang boleh meningkatkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar,” katanya sambil memberitahu gerakan koperasi di Johor ketika ini berada pada tahap boleh dibanggakan.

Pada 2013, sebanyak 12 koperasi tersenarai dalam 100 Indeks Terbaik Koperasi Malaysia. Selain itu, sehingga 31 Disember 2013, sektor koperasi di Johor mencatat keuntungan mencecah RM45 juta. Di Johor terdapat 1,039 koperasi dengan keahlian mencecah 450,232 orang manakala asetnya berjumlah RM706.7 juta.

Perancangan Pembangunan Untuk Koperasi

Bagi memperkasakan lagi pembangunan sektor koperasi di Johor, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) memberi kelulusan pembinaan Bandar Koperasi atau Coop City di atas tanah berkeluasan 62 hektar di Bandar Penawar.

Dengan adanya projek ini, ia menjadikan Johor sebagai negeri pertama di Malaysia yang melaksanakannya dan pertama seumpamanya di Asia. Projek usahasama ini dibangunkan oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan Koperasi Pengerang Kota Tinggi Berhad dengan jumlah pelaburan RM500 juta.

Projek perintisnya dilaksanakan di Mukim Pantai Timur Bandar Penawar, di atas tapak berkeluasan 29.13 hektar. Ia membabitkan pembangunan yang menempatkan 1,000 unit kediaman pelbagai kategori, kawasan rekreasi, hotel, pusat perniagaan dan pusat beli- belah.

Md Jais berkata, pembinaan Coop City ini sangat dialukan oleh Kerajaan Negeri kerana ia bukan sahaja mampu membantu usahawan dan ahli koperasi malah memudahkan urusan rakyat yang mahu mendapatkan barang keperluan dan perkhidmatan dalam urusan harian mereka. Lebih menarik, semua rantaian perniagaan yang ada dalam bandar Coop City ini dikhaskan untuk gerakan koperasi semata-mata.

Kejayaan Koperasi di Johor

Kejayaan Koperasi di Johor dibuktikan dalam beberapa bidang yang bukan sahaja membantu dalam memajukan ekonomi Johor malah menjadi sumber utama keluaran dalam negara. Melalui bidang penternakan ayam, gerakan koperasi Johor telah mengadakan program usahasama bersama Pertubuhan Peladang Negeri Johor untuk menjalankan projek penternakan ayam secara bersepadu.

Ketika ini, Johor merupakan negeri pengeluar ayam utama di Malaysia. Sememangnya peluang ini digunakan oleh koperasi untuk menggabungkan lapan koperasi di negeri ini untuk bekerjasama membangunkan bidang penternakan ayam ini.

Buat masa ini, pengeluaran ayam adalah 30,000 ekor bagi satu pusingan iaitu kira-kira 160,000 ekor ayam setahun. Jumlah ini dijangka bertambah 12,000 ekor ayam bagi satu pusingan apabila empat koperasi lagi akan turut bergabung untuk menjalankan aktiviti penternakan ini.

Md Jais berkata, usaha yang dilakukan gabungan koperasi ini merupakan tindakan bijak dan beliau mengharapkan supaya jumlah keluaran ayam ditingkatkan lagi pada masa hadapan kerana permintaan yang tinggi di pasaran. Untuk ini, koperasi harus bersedia melabur dan menjalankan penyelidikan seiring dengan perkembangan teknologi terkini.

“Saya percaya jika ia dapat dilakukan, pendapatan berjumlah RM1.56 juta yang dicatatkan pada tahun lepas akan dapat dipertingkatkan lagi dan secara tidak langsung menjadi pendorong kepada koperasi untuk lebih bergiat aktif dan berdaya saing,” katanya.

Melalui bidang pemborongan dan peruncitan, terdapat hampir 371 kedai runcit koperasi dan 28 daripadanya telah dinaiktaraf melalui program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR), dua sub-distribution centre ditubuhkan, dan lima stesen minyak dinaik taraf dengan jenama SmartStream.

Selain itu, terdapat 10 stesen minyak jenama lain dikendalikan oleh koperasi. Pencapaian ini adalah kesan komitmen yang tinggi oleh koperasi di samping bantuan geran kerajaan.

Dalam bidang industri pelancongan pula, sebuah koperasi menubuhkan syarikat pelancongan dan mencatatkan perolehan berjumlah RM3.35 juta. Selain itu, terdapat tiga koperasi menjalankan aktiviti pengangkutan dan mencatatkan perolehan RM3.4 juta. Terdapat juga sebuah koperasi yang menjalankan perniagaan hotel bajet dan tiga koperasi menjalankan aktiviti inap desa.

Daripada aspek pembangunan kawasan Iskandar Malaysia pula, Koperasi Iskandar Malaysia turut ditubuhkan dengan pemberian Matching Grant sehingga RM10 juta untuk bantuan rangkaian kedai runcit harga baru. Malah konsep koperasi seperti ini turut menggalakkan penglibatan golongan miskin dalam bidang keusahawanan menerusi Social Enterprise  di dalam kawasan Iskandar Malaysia  

infographic jais

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial