Lebih 1,500 RMMJ Di Parlimen Tebrau Akan Siap Tahun Ini

IMG_4251

 

JOHOR BAHRU, 15 Jan. – Sebanyak 1,518 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) akan siap dibina di kawasan Parlimen Tebrau pada tahun ini.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata ini merupakan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memberi perhatian terhadap aspek kesejahteraan hidup rakyat menerusi pemilikan rumah terutama kepada golongan berpendapatan rendah.

“Rumah-rumah mampu milik dan juga kos rendah yang telah siap dibina sepanjang tahun 2016 di dalam kawasan Parlimen Tebrau kesemuanya berjumlah 1,408 unit dan untuk tahun ini rumah mampu milik yang akan siap dibina di kawasan ini adalah sebanyak 1,518 unit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) Taman Daya, di sini, pagi tadi.

Menurut Mohamed Khaled, penyediaan rumah dan tempat perlindungan untuk rakyat menjadi penanda aras utama bagi pembangunan dan kemajuan sesebuah negeri dan juga negara.

“Mana mungkin kita mampu berbangga sebagai sebuah negeri dan masyarakat maju sekiranya kita masih gagal menyediakan keperluan paling asas untuk rakyat.

“Maka sebab itulah saya dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri tetap teguh membina iltizam dan semangat untuk terus berusaha menyediakan rumah demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Tambah beliau, usaha itu juga dilakukan dengan mengambil ketetapan berasaskan kepada dua perkara utama.

“Pertama kita akan meneruskan dasar perumahan RMMJ. Walaupun ada saranan dan perubahan di negeri-negeri lain tetapi Johor tetap akan meneruskan dasar tersebut iaitu 40 peratus dalam setiap projek pembangunan.

“Kedua ialah walaupun di tempat-tempat lain berlaku peningkatan kos dan sebagainya, tetapi di Johor harga rumah mampu milik kekal pada harga RM150,000, manakala rumah kos rendah dan sederhana rendah PKJ A pada harga RM42,000 dan PKJ B RM80,000.

“Harga ini akan terus kita kekalkan kerana komitmen dan iltizam Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat berpendapatan rendah dapat bersama-sama memiliki rumah,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media pada majlis yang sama, Mohamed Khaled menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan berusaha memastikan RMMJ tidak disewakan kepada pihak ketiga.

Jelas beliau, perkara tersebut tidak sewajarnya berlaku kerana ia tidak akan membantu menyelesaikan masalah pemilikan rumah golongan yang memerlukan.

“Kita akan cuba memastikan mereka yang dapat memiliki rumah ini supaya mereka menduduki rumah tersebut dan bukannya disewakan. Jika disewakan, ini bermakna mereka bukan golongan yang memerlukan rumah, sedangkan kita mahu membantu golongan yang memerlukan. Walaupun ia bukan mudah, tetapi kita akan pastikan perkara tersebut tidak berlaku,” katanya.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Abd Latif Bandi; Setiausaha Kerajaan Johor, Azmi Rohani dan Penasihat Kanan, Keck Seng (M) Berhad, Dato’ Abdul Rahim Ramli.

Mengenai RMMJ Taman Daya, ia melibatkan sejumlah 246 unit RMMJ yang siap dibina iaitu 206 unit Rumah Teres ‘Courtyard’ RMMJ 2 Tingkat dan 40 unit Rumah Teres RMMJ 2 Tingkat.

Rumah mampu milik yang dijual pada harga RM150,000, dengan keluasan 1080 kaki persegi itu dibangunkan oleh Keck Seng (M) Bhd.

 

IMG_4252
RMMJ Taman Daya

 

 

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial