Lebih 1,700 Peneroka Felda Di Mersing Telah Menerima Geran Hak Milik Tanah

img_0281

 

MERSING, 23 Okt – Kerajaan Negeri sehingga kini sudah mengurniakan 1,744 hak milik tanah kepada peneroka di 11 tanah Rancangan Felda di daerah Mersing.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin memberi jaminan akan memberi geran hak milik tanah kepada baki 1,552 peneroka di seluruh daerah itu menjelang tahun hadapan.

“Pada hari ini saya hendak maklumkan seramai 1,744 peneroka telah dikurniakan surat hak milik melibatkan 11 rancangan Felda di Daerah Mersing.

“Dan baki penyerahan hak milik bagi seramai 1,552 peneroka, Kerajaan Negeri beri jaminan kita akan serahkan secepat mungkin dan Kerajaan Negeri menyasarkan semua peneroka dalam daerah Mersing akan menerima hak milik menjelang tahun 2017,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Geran Hak Milik Tanah Peneroka Felda Tenggaroh 6 di sini, hari ini.

Katanya, pemberian hak milik tanah itu merupakan satu inisiatif kerajaan mengiktiraf dan menghargai peneroka Felda yang selama ini bekerja keras membantu dalam aspek pembangunan sosial serta ekonomi di negeri ini serta sebagai tanda Kerajaan Negeri sedia ada menunaikan janjinya.

“Semua ini menandakan bahawa Kerajaan Negeri mengiktiraf usaha dan kerja keras setiap peneroka yang ada dalam kawasan ini.

“Kerajaan Negeri sedar bahawa tuan-tuan dan puan-puan telah bekorban dan menumpukan segala tenaga dengan penat lelah. Jadi sebagai menghargai usaha itu kita mengiktiraf dengan memberikan hak milik kepada 270 orang peneroka pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini Kerajaan Negeri sedang dalam proses untuk mengurniakan hak milik tanah kepada 81 peneroka dari Felda Tenggaroh 4.

“Saya juga ingin maklumkan bahawa pada ketika ini kerajaan sedang mengusahakan pemberian hak milik tanah kepada seramai 81 orang pemohon bag tanah yang terletak di Felda Tenggaroh 4 iaitu peringkat kelima, melibatkan 81 plot rumah kediaman dengan keluasan 978.6 ekar.

“Kerajaan Negeri telah pun meluluskan permohonan mengenai perkara ini dan InsyAllah kita boleh laksanakan dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam majlis itu seramai 270 peneroka Felda Tenggaroh 6 melahirkan rasa syukur dan terharu setelah penantian lebih 30 tahun untuk memiliki geran tanah sendiri berakhir apabila mereka menerima geran hak milik tanah yang disampaikan Menteri Besar.

Salah seorang peneroka, Omar Hassan, 65, beliau berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana telah menunaikan janji dalam soal hak milik tanah felda itu.

“Saya bagi pihak peneroka yang mendapat geran tanah hari ini melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang telah menamatkan penantian kami untuk memiliki sendiri  tanah yang sekian lama kami tunggu,” katanya.

Seorang lagi peneroka, Ibrahim Senin, 69, beliau juga menzahirkan rasa syukur di atas pengurnian hak milik tanah itu.

“Syukur kehadrat Alllah dan terima kepada kasih Kerajaan Negeri kerana doa dan penantian kami selama hampir 30 tahun untuk memperoleh hak milik tanah ini tercapai,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Khaled dalam lawatan sehari ke Felda Gugusan Tenggaroh merasmikan Kedai Harga Patut Muafakat Johor (imCoop) di Felda Tenggaroh 3 di sini.

ImCoop yang diusahakan oleh Koperasi Iskandar Malaysia Berhad ini merupakan cawangan kelapan, yang telah beroperasi sejak 23 Jun lalu.

Ia merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri untuk membantu meringankan beban ekoran peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ismali Karim, Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abd Latif Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, K. Raven Kumar dan Ketua Pegawai Eksekutif imCoop, Nor Hisham Hussein.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial