Lebih 8,000 Rumah Mampu Milik Akan Dibina Di Pengerang

PENGERANG 17 Mac – Sebanyak 8,487 rumah mampu milik akan dibina di sini bagi memenuhi keperluan perumahan penduduk di kawasan berkenaan sehingga 2019.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, ia melibatkan projek perumahan Pakej A bernilai RM42,000 seunit, Pakej B (RM80,000) dan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) bernilai RM150,000 seunit.

“Kawasan Pengerang kini semakin pesat membangun dengan adanya projek mega seperti Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID).

“Justeru, Kerajaan Negeri mahu memastikan isu perumahan ini dapat diberi perhatian bagi membolehkan kumpulan sasar memiliki rumah di kawasan yang sedang pesat membangun ini,” katanya ketika berucap di Dewan Bayu Damai, Taman Bayu Damai di sini, sempena lawatan ke parlimen berkenaan semalam.

Yang turut hadir Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri Johor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Datuk Syed Sis Syed A. Rahman; ADUN Penawar, Hamimah Mansor dan Pegawai Daerah Kota Tinggi, Dr. Badrul Hisham Kassim.

Mohamed Khaled berkata, Kerajaan Negeri amat berterima kasih kepada penduduk dari tujuh perkampungan di sini yang sanggup berkorban dengan berpindah ke Taman Bayu Damai bagi menjayakan projek RAPID.

Justeru, pihaknya akan memberi perhatian terhadap isu-isu perumahan yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan melalui Pusat Informasi Setempat Pengerang yang telah diwujudkan.

Selain itu, bagi memastikan setiap perancangan pembangunan di Pengerang dapat memberi manfaat kepada semua masyarakat, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menubuhkan sebuah Majlis Penasihat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang.

“Kita bersetuju untuk menubuhkan Majlis Penasihat PBT Pengerang yang akan dipengerusikan oleh saya sendiri supaya semua maklumat atau masalah dapat disampaikan terus untuk tindakan segera.

“Ahli-ahli lembaga penasihat majlis ini yang dilantik adalah terdiri daripada ahli-ahli pengarah, pegawai daerah, ahli parlimen dan wakil-wakil rakyat, yang akan sama-sama terlibat dalam proses pembangunan kawasan Pengerang secara bersepadu dan mampan,” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Penduduk Pengerang.

Sebanyak 14 jawatan akan diisi oleh ahli-ahli perwakilan dalam kalangan penduduk dan Ahli Majlis PBT Pengerang, termasuk wakil daripada masyarakat Cina dan India.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial