Lebih banyak rumah mampu milik akan dibina di bandar – Mohamed Khaled

MUAR: Kerajaan Negeri akan membina lebih banyak rumah mampu milik di bandar dan pinggir bandar bagi memastikan rakyat yang berpendapatan rendah mampu memiliki kediaman sendiri.

Bagi tujuan itu, Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau telah meminta semua pejabat daerah dan tanah di negeri ini untuk mengenal pasti kawasan yang sesuai dibina rumah mampu milik.

"Dalam konteks ini kita akan tentukan setiap pemaju dapat laksanakan pembinaan rumah ini sebagaimana diluluskan kerajaan. Bukan sahaja pembinaannya di kawasan pinggir bandar tetapi juga di tengah-tengah bandar.

"Kalau kerajaan perlu ambil mana-mana tanah di tengah bandar, kita sanggup berbuat demikian supaya mendapat lokasi yang baik. Langkah ini untuk memberi peluang kepada penduduk berpendapatan rendah dalam bandar memiliki rumah yang tidak jauh dari tempat mereka bekerja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat Tanaman Cili Fertigasi Agro Bistari Treh Sdn. Bhd. di Bukit Treh, di sini, Isnin lalu.

Jelas beliau lagi, seramai lebih 1,200 orang penduduk di dearah ini telah mendaftarkan diri untuk mendapatkan rumah mampu milik di daerah ini dan setakat ini sebanyak 900 unit untuk rumah jenis tersebut telah diluluskan pembinaannya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata Kerajaan Pusat memperuntukkan kira-kira 24 juta untuk untuk membina Muar Water Front di sepanjang persisir Sungai Muar, di samping membaik pulih prasarana dan kemudahan awam di sekitar daerah ini.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak RM22 juta diperuntukkan khusus untuk membina Muar Water Front.

"Peruntukan awal sebanyak RM5 juta sudah pun disalurkan dan bakinya akan disalur mengikut fasa. Ini bagi menarik lebih ramai pelancong dan menambah kawasan rekreasi yang diperlukan penduduk di Muar,” katanya.

Katanya lagi, peruntukan selebihnya akan digunakan untuk membaik pulih Bangunan Sultan Abu Bakar RM565,000, Surau Sri Menanti Darat (RM50,000), naik taraf jalan raya di Sungai Terap (RM35,000) dan membaiki kemudahan lain.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial