Lebih banyak rumah mampu milik bakal dibina di Johor

Memiliki rumah dan tempat berlindung adalah keperluan asas setiap lapisan masyarakat. Dengan kos sara hidup yang semakin tinggi ketika ini membuatkan rakyat semakin sukar untuk membeli rumah idaman mereka. 

Menyedari hakikat itu, maka sebab itulah Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin telah beberapa kali mengulangi komitmennya untuk memastikan lebih banyak rumah kos rendah dan mampu milik dibina di negeri ini sepanjang pentadbiran beliau. 

Ini diperkukuhkan lagi di dalam Bajet Negeri 2014 yang telah jelas membawa mesej bahawa tanggungjawab Kerajaan Negeri ialah memastikan keluarga yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah kategori rendah dan kumpulan pertengahan mampu memiliki rumah yang berkualiti. 

Bagi mereralisasikan hasrat itu, Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Khas Sektor Perumahan akan meneruskan usaha meningkatkan jumlah pembinaan rumah di bawah kategori Rumah Kos Rendah dan Rumah Mampu Milik Johor.

Secara keseluruhannya, Kerajaan Negeri mensasarkan untuk membina sekurang-kurangnya 28 ribu unit Rumah Kos Rendah dan Rumah Mampu Milik Johor dalam tempoh 5 tahun bermula dari tahun 2013 hingga 2018. 

Usaha ini akan diterajui oleh pemaju-pemaju yang mempunyai kepentingan Kerajaan Negeri seperti Johor Corporation Bhd., Kumpulan Prasarana Rakyat Johor, Yayasan Pelajaran Johor dan Perbadanan Islam Johor  selain penglibatan jabatan serta agensi Kerajaan Persekutuan dan pemaju-pemaju swasta. 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd Latif Nor Sebandi, berkata Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Dasar Perumahan Rakyat Johor di Iskandar Malaysia pada 1 April 2012.

Bagaimanapun, usaha untuk membina rumah kos rendah dan mampu milik tidak hanya tertumpu di kawasan Iskandar sahaja, sebaliknya ia akan diperluaskan ke seluruh Johor.

“Saya yakin dan percaya menerusi komitmen serta kerjasama daripada semua, sasaran Kerajaan Negeri untuk memastikan sebanyak 28,000 rumah mampu milik dibina di negeri Johor menjelang 2018 dapat dicapai,” katanya kepada Jauhar baru-baru ini.

Abdul Latiff berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemaju yang tidak menyediakan rumah mampu milik di kawasan projek perumahan mereka.

“Permohonan pemaju akan dibekukan sekiranya mereka gagal menyediakan komponen rumah kos rendah,” tegasnya.

Sudah pasti inisiatif dan usaha Kerajaan Negeri untuk memastikan lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana dibina di negeri memberi khabar gembira kepada rakyat. 

Bagi kakitangan swasta, Munir Zahrom, 28, langkah Kerajaan Negeri yang memberi keutamaan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah amat dialu-alukan.

Katanya, dengan kenaikan kos sara hidup pada masa kini, langkah seperti ini membolehkan golongan sepertinya memiliki rumah sendiri.

“Kalau kita lihat iklan jualan rumah, lebih-lebih lagi dalam kawasan Iskandar Malaysia rata-rata yang paling rendah dalam lingkungan RM200,000.

“Dengan pendapatan sekarang, manalah golongan seperti kami mampu memiliki rumah sendiri. Alhamdulillah, dengan langkah yang dilaksanakan Kerajaan Negeri, sekarang kami boleh berkira-kira untuk memiliki kediaman sendiri” katanya. 

Sementara itu, seorang lagi kakitangan swasta, Mohd. Zulfadzly Amil, 31, berkata, usaha untuk memastikan lebih banyak rumah kos rendah dan mampu milik dibina di negeri ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri prihatin terhadap masalah yang dihadapi rakyat.

“Komitmen Kerajaan Negeri ini wajar dipuji kerana ia bukan sahaja menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri faham mengenai masalah yang sedang dihadapi oleh rakyat di negeri ini, tetapi juga berusaha mencari jalan penyelesaiannya,” jelasnya.

fokus perumahan infographic

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial