Lebih Banyak Tanah Rizab Melayu Bakal Dibangunkan

Mohamed Khaled bersama kanak-kanak penggiat sukan motosikal sebelum minum petang di Tepian Sungai Muar, Panchor.

MUAR, 12 Feb – Kerajaan Negeri bersedia untuk membangunkan lebih banyak tanah rizab Melayu di Johor bagi tujuan perumahan.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata banyak tanah rizab Melayu yang belum ada perancangan boleh dipertimbangkan untuk skim sewa beli.

“Kita akan mengenal pasti tanah-tanah rizab milik kerajaan yang dibiarkan tidak berbuat apa-apa untuk tujuan itu agar ia dapat dimanfaatkan kepada masyarakat dengan lebih berkesan.

“Seperti yang saya umumkan dalam Bajet Johor 2017, Kerajaan Negeri akan memulakan skim sewa beli ini dengan peruntukan RM20 juta.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek Rumah Mampu Milik Pekan Lenga sempena lawatan kerja sehari beliau ke kawasan parlimen Pagoh.

Johor Corporation (JCorp) akan membina 64 unit rumah jenis Perumahan Komuniti Johor (PKJ) di atas sebidang tanah selesa 2.6 hektar di Bukit Serampang.

54 unit PKJ jenis A dan 10 PKJ B akan dibina dengan harga masing-masing RM42,000 dan RM80,000 seunit.

Tambah Mohamed Khaled, usaha demikian adalah komitmen Kerajaan Negeri bagi meningkatkan pemilikan rumah bagi rakyat.

“Kita memahami tidak semua berpeluang untuk mendapat kelulusan pembiayaan daripada bank untuk memiliki rumah.

“Ini adalah kerana kami percaya bahawa pemilikan rumah adalah salah satu pendekatan yang akan membawa kepada kesejahteraan,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abd. Latif Bandi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Ismail Mohamed serta Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Dato’ Kamaruzaman Abu Kassim.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial