Lebih RM50 Juta Untuk Parlimen Parit Sulong

IMG_4478

BATU PAHAT, 23 Jan – Lebih RM50 juta peruntukan diumumkan untuk pelbagai projek pembangunan di kawasan Parlimen Parit Sulong, sempena Lawatan Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin ke kawasan itu hari ini.

Ia termasuk peruntukan untuk sekolah agama, sistem perparitan, jalan raya, jambatan, masjid dan kemudahan peniaga.

Dalam ucapannya, Mohamed Khaled mengumumkan peruntukan RM50,000 bagi menambah baik infrastruktur di Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) Mampan.

Bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan sistem saliran, perparitan dan jeti, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor memperuntukkan RM5 juta bagi Projek Menaiktaraf Sistem Saliran Mesra Alam Batu Pahat Fasa 1 (Skim Saliran Peserai).

JPS juga akan melakukan kerja-kerja naik taraf parit tanah kepada longkang u-drain di Kampung Parit Raja Ahmad, Mukim 4 dengan peruntukan RM500,000.

Sejumlah RM700,000 juga diperuntukkan untuk projek menambak dan membina jeti baru di kawasan Pantai Wawasan Simpang 5.

Daripada jumlah itu, RM350,000 masing-masing adalah bagi kerja-kerja penambakan dan pembinaan jeti berkenaan.

Kerajaan Negeri juga bersetuju memperuntukkan RM200,000 untuk membina jeti baru di kawasan sungai Nibong Laut, Mukim 4 bagi kemudahan nelayan di situ.

Mengenai kemudahan jalan raya di kawasan itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM37 juta untuk projek penyelenggaraan, naik taraf dan pelebaran jalan kampung di kawasan parlimen berkenaan.

Kerajaan Negeri juga turut meluluskan peruntukan sejumlah RM100,000 bagi menurap jalan masuk ke Madrasah Baitul Bayan, Simpang 5.

Mengenai kemudahan peniaga dan golongan usahawan di kawasan parlimen itu, Kerajaan Negeri juga mengumumkan peruntukan RM500,000 bagi projek membaik pulih kerosakan Bazar Niaga Parit Sulong, RM500,000 untuk menaik taraf dataran dan membina kiosk penjaja di pekan Sri Medan.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan membina semula pasar buah-buahan di pasar awam Batu Pahat dengan kos RM600,000.

Berkenaan pembinaan masjid di kawasan parlimen itu, Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan sejumlah RM7.8 juta untuk membina empat buah masjid iaitu Masjid Jamek Kampung Bintang, Peserai (RM2.20 juta), Masjid Jamek Parit Baru Mukim 18 Seri Medan (RM2 juta), Masjid Taman Industri Seri Sulong (RM2.15 juta) dan Masjid Pt Singgahan 4 Seri Medan (RM1.48 juta).

Selain itu, sejumlah RM200,000 diperuntukkan oleh Kerjaan Negeri untuk membaik pulih Masjid Gambut, Mukim 2 Bagan.

Hadir sama pada lawatan kerja itu ialah Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr. Noraini Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Azmi Rohani.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial