Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor

 

DSC_4703DSC_4789

Mekanisme terbaik kawal pemaju perumahan, bela kebajikan rakyat

Oleh Hamirul Hairi Mohd Noh

MUNGKIN masih ada pihak belum jelas mengenai Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) walaupun rang undang-undangnya telah dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor seterusnya Enakmen LPHJ 2014 itu diluluskan, baru-baru ini.

Ketika ia hendak dibentangkan, pelbagai reaksi timbul. Ada yang menentang dan menyokong malah tidak kurang yang meminta enakmen LPHJ ditangguhkan dengan pelbagai alasan. Namun tidak ramai menyedari, penubuhan itu sebenarnya bertujuan membela kebajikan rakyat Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd Latiff Bandi, berkata penubuhan LPHJ dilihat sebagai mekanisme terbaik bagi memantapkan prosedur dan urusan kawalan terhadap pemaju perumahan serta hartanah di negeri ini.

Pada masa ini, pemantauan dan kawalan kerja negeri terhadap pemajuan perumahan mahupun hartanah serta isu berkaitan dilakukan pelbagai agensi kerajaan negeri seperti Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Bahagian Perumahan, SUK Bahagian Kerajaan Tempatan serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Pejabat SUK Bahagian Perumahan pula melaksanakan dasar-dasar perumahan yang telah disediakan pejabat UPEN. Isu setinggan, pengurusan dan penyelenggaraan rumah sewa dan sewa beli dan rumah awam kerajaan negeri pula ditangani PTG serta SUK Bahagian Perumahan.

Isu penyelenggaraan rumah strata swasta, kemajuan harta tanah komersil terbengkalai dan isu berkaitan ataupun strata swasta 2013 serta berkaitan kawasan berpintu pagar dan berkawal ditangani SUK Bahagian Kerajaan Tempatan.

“Kajian menunjukkan adalah lebih baik jika fungsi ini disatukan dan dilakukan oleh satu agensi Kerajaan Negeri. Ini membolehkan pemantauan dan kawalan Kerajaan Negeri pada fungsi serta isu ini akan menjadi lebih baik kerana semua maklumat berkenaan disatukan dan diuruskan oleh pegawai sama menyertai Lembaga.

“Bukan itu sahaja, setelah fungsi Kerajaan Negeri menjadi lebih tersusun dan teratur, LPHJ akhirnya boleh menjadi pusat rujukan setempat berkaitan isu pemajuan perumahan dan hartanah di Johor.

“Tiada lagi pertindihan tugas atau kekeliruan tentang tanggungjawab di antara agensi Kerajaan Negeri dalam isu-isu perumahan yang disokong Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perumahan Negara seperti isu pemajuan perumahan terbengkalai, isu penyelenggaraan perumahan strata dan lain-lain lagi,” katanya

Abd Latif berkata, selain Johor, lembaga seperti itu diwujudkan di Melaka pada 2002 dan ketika Selangor di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional pada 2001 di bawah enakmen mereka sendiri masing-masing.

“Sistem satu agensi pemantau bernama Lembaga Perumahan yang dikuatkuasakan di negeri tersebut adalah lebih berkesan dalam menangani dan memantau isu berkaitan pemajuan perumahan dan harta tanah,” katanya.

Selain itu, Abd Latiff berkata, penubuhan LPHJ untuk menambah baik lagi perundangan sedia ada yang diwujudkan Kerajaan Persekutuan mengikut keperluan di Johor.

Katanya, selari dengan Teras 3 Dasar Perumahan Negara iaitu meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dan memastikan pematuhan kepada sistem penyampaian perkhidmatan berkaitan perumahan, LPHJ akan menjadi satu-satunya agensi Kerajaan Negeri bertanggungjawab terhadap pemantauan pemajuan perumahan dan harta tanah termasuk isu perumahan komuniti Johor, rumah mampu milik Johor dan kedai kos sederhana yang mesti dibina pemaju perumahan di bawah Dasar Perumahan Rakyat Johor.

Secara tidak langsung kewujudan LPHJ adalah kesinambungan Dasar Perumahan Rakyat Johor di Iskandar Malaysia yang telah diperkenalkan dan diluaskan dengan pindaan yang sesuai ke seluruh Johor yang ideanya juga ditunaskan kerajaan Barisan Nasional.

INFO JAUHAR:

  • Kerajaan Negeri Johor telah menyenaraihitamkan 28 pemaju yang gagal membina 30,000 rumah kos rendah di wilayah Iskandar Malaysia.
  • Sasaran pembinaan rumah mampu milik dipertingkatkan daripada 28,000 unit kepada 37,000 unit untuk tempoh akan datang, mulai tahun 2014.
  • Had kelayakan pendapatan isi rumah dinaikkan untuk pembelian Rumah Mampu Milik Johor dan Kedai Kos Sederhana. Dari kelayakan pendapatan antara RM6,000 hingga RM7,000 kepada RM8,000.
  • Pemberian Baucar RM1,000 bagi mengurangkan deposit utiliti dan kos-kos berkaitan dengan pembelian rumah kos rendah dan sederhana. Baucar akan diberikan ketika pembeli mengambil kunci rumah, mulai 1 Januari 2015.
  • Kerajaan Negeri Johor akan meneruskan Program Bantuan Rumah dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.93 juta untuk membina 40 rumah baharu dan membaikpulih 30 rumah.
  • Kerajaan Negeri Johor mengambil inisiatif membina sebanyak 6,300 rumah kos rendah, termasuk Projek Perumahan Rakyat.
Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial