LIHAT SENDIRI, AMBIL BERAT DERITA RAKYAT – ZULKURNAIN KAMISAN

image (5)

BATU PAHAT – Melalui kunjungan dari rumah ke rumah, pemimpin dapat melihat dan merasai sendiri denyut nadi penderitaan rakyat.

Sehubungan itu, Umno Bahagian Parit Sulong, mengambil pendekatan menziarahi kediaman orang susah, pesakit terlantar dan yang terlibat kemalangan.

Ketua bahagiannya, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, kunjungan berkenaan juga bagi menghulurkan bantuan untuk meringankan beban yang ditanggung golongan berkenaan.

Menurutnya, kunjungan seumpama itu juga adalah rutin pihaknya di kawasan yang mempunyai dua zon iaitu Sri Medan dan Semerah.

“Selain melihat sendiri keadaan mereka yang memerlukan ini, kami juga melakukan semakan sama ada mereka mendapat bantuan daripada pihak yang sepatutnya atau tidak.

“Jika masih belum, permohonan akan dibuat dan jika layak bantuan bulanan akan disalurkan,” katanya pada kunjungan ke kediaman mereka yang memerlukan di sekitar kawasan Jalan Muar – Parit Sulong,  Jalan Simpang Lima dan Jalan Peserai, kelmarin.

Beliau yang juga Adun Sri Medan berkata, pihaknya sentiasa membuat semakan dan mengemas kini status mereka yang memerlukan bantuan terutama warga emas pesakit terlantar.
Menurutnya, setiap bulan pasti ada pertambahan penerima bantuan.

“Golongan berkenaan amat memerlukan perhatian, sebab itulah mengunjungi mereka ini dijadikan rutin dan jika boleh setiap dua minggu akan diadakan di kawasan Sri Medan serta tidak ketinggalan juga kawasan Semerah,” katanya- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial