Lima Minggu Beri Pandangan, Idea

img_0758

 

JOHOR BAHRU 3 Nov. – Orang ramai, khususnya warga bandar raya ini diminta merebut peluang untuk memberikan pandangan dan cadangan semasa Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Da­erah Johor Bahru dan Kulai 2015 (penggantian) yang bermula 1 Nov lalu.

Menteri Besar, Dato’Mohamed Khaled Nordin berkata, mereka boleh mengemukakan cadangan dan idea bagi membantu dan memandu kerajaan negeri merangka pelan pembangunan terbaik untuk pihak berkuasa tempatan (PBT), khususnya dalam pembangunan guna tanah.

“Saya percaya terdapat pandangan bernas lagi inovatif daripada penduduk daerah ini yang boleh diketengahkan serta dipertimbangkan untuk dimuatkan dalam pelan pembangunan seca­ra menyeluruh.

“Pihak berkepentingan dan sesiapa sahaja yang ingin memberikan pandangan boleh membuat semakan di pejabat Jabatan Perancangan Bandar dan Desa negeri, PBT yang berkaitan dan Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) selama lima minggu mulai hari ini (semalam),” katanya pada majlis pe­rasmian program tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Ismail Karim.

Yang turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Undangan Ne­geri (DUN), Datuk Baderi Dasuki; Pengarah Perancangan Bandar dan Desa negeri, Dr. Shamsaini Shamsuddin; Datuk Bandar Johor Bahru, Rahim A. Nin; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah, Dr. Badrul Hisham Kassim, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Hasrin Kamal Hashim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai, Abdul Rahman Salleh. – Utusan Online

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial