Limpahan Ekonomi Mesti Dinikmati Rakyat

Mohamed Khaled menyerahkan bantuan subsidi tambang bas kepada salah seorang penerima, Nur Ain Najwa Norizam.

PASIR GUDANG, 26 Feb – Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin menegaskan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempunyai peranan yang penting dalam memastikan manfaat limpahan ekonomi negeri dapat dinikmati oleh rakyat.

Menurut beliau, usaha kerajaan untuk memperkukuhkan ekonomi akan membawa pelbagai peluang serta hasil kepada kerajaan dan PBT.

“Sebab itu saya tekankan semua PBT di Johor mempunyai KPI (petunjuk prestasi utama) di mana 40% daripada hasil pendapatan mesti dibelanjakan untuk pembangunan keperluan-keperluan rakyat.

“Kalau duit banyak tetapi terlalu dibelanjakan untuk perkara pengurusan dan perkhidmatan, pembangunan tidak akan menerima peruntukan yang secukupnya,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah di Taman Cendana, hari ini.

Wakil pengusaha-pengusaha bas sekolah kawasan Pasir Gudang, Mohamad Dahali Jailani menerima mock cheque subsidi tambang bas sekolah daripada Mohamed Khaled.

Tambah beliau, PBT perlu menguruskan kewangan mereka dengan cekap agar kos operasi tidak terlalu tinggi sehingga menjejaskan peruntukan yang sepatutnya untuk pembangunan.

“Matlamat akhir kita dalam mengejar pembangunan dan kemajuan adalah kesejahteraan rakyat kita.

“Dengan adanya ekonomi yang kukuh, kita akan lebih berupaya untuk menyalurkan manfaat kepada rakyat dan mensejahterakan dalam pelbagai bentuk seperti menambah baik kemudahan asas, mengadakan lebih banyak kemudahan beriadah dan pelbagai lagi,” kata beliau.

Justeru, Khaled berkata rakyat harus memahami dan mendukung usaha kerajaan negeri dalam mengukuhkan ekonomi dan mensejahterakan mereka.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial