Lokasi Berbasikal Akan Dibincangkan Kerajaan Negeri

Asiah menziarahi keluarga arwah Mohamad Azrie Danish Zulkefli di Taman Sinaran Kempas

JOHOR BAHRU, 20 Feb. – Kesesuaian masa dan tempat aktiviti berbasikal melibatkan remaja bakal dibincangkan di peringkat Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi memastikan tragedi yang menimpa lapan pelajar sekolah yang dirempuh kereta di Jalan Lingkaran Dalam, tidak berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, negeri, Asiah Md Ariff berkata, tragedi yang berlaku memberi pengajaran kepada semua pihak dalam mengendalikan anak-anak yang sedang meningkat remaja supaya tidak terlepas pandang.

Menurutnya, isu berkenaan akan terus diberikan perhatian pihaknya di bawah portfolio Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandangkan aktiviti berbasikal semakin di minati golongan remaja untuk beriadah.

“Kita akan membincangkannya ke peringkat Mesyuarat Kerajaan Negeri khususnya membabitkan isu kesesuaian masa dan tempat untuk golongan remaja berbasikal.

“Jika kita lihat tragedi yang meragut nyawa lapan remaja ini, masa kejadian adalah pada awal pagi dan lokasi kemalangan berlaku juga tidak sesuai untuk mereka menunggang basikal,” katanya ketika ditemui media di sini, semalam.

Beliau menziarahi kediaman keluarga dua remaja yang maut akibat dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, kira-kira jam 3.00 pagi iaitu arwah Mohamad Azrie Danish Zulkefli,14 di Taman Sinaran Kempas.

Asiah kemudiannya menziarahi keluarga arwah Muhammad Shahrul Nizam Maruddin di Flat Desa Mutiara, Bandar Dato’ Onn. Kedua-dua mangsa merupakan rakan sekelas di Tingkatan dua, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Mohamed Rahmat, Kempas.

Dalam pada itu, Asiah juga menasihatkan semua ibu bapa supaya menjadikan pengajaran terhadap kemalangan berkenaan khususnya dalam mengendalikan anak-anak yang sedang meningkat remaja.

“Apa pun yang berlaku jadikan ia sebagai pengajaran kepada ibu bapa di luar sana. Hubungan dua hala dengan anak-anak perlu dijaga supaya kita dapat mengawasi pergerakan mereka dan anak-anak juga perlu memaklumkan keluarga jika ingin ke mana-mana.

“Jika ada hubungan yang dekat antara ibu bapa dengan anak, kejadian seperti ini dapat dielakkan. Bagaimanapun kita tidak boleh menyalahkan ibu bapa mangsa kemalangan ini kerana mereka turut memantau pergerakan anak-anak.

“Berdasarkan makluman ibu bapa mereka tidak diberitahu oleh anak-anak yang mahu berbasikal bersama rakan-rakan malah lokasi kejadian itu juga jauh daripada kediaman mereka. Ini bukan masanya untuk mencari kesalahan dan masyarakat juga perlu memainkan peranan,”katanya.

Katanya, aktiviti berbasikal juga memberikan pelbagai pendedahan kepada anak-anak namun perlu diberikan nasihat khususnya aspek keselamatan, kesesuaian tempat dan masa untuk beriadah. – Sinar Harian

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial