Longgar pinjaman perumahan, titah Sultan Johor

 

KOTA ISKANDAR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahu institusi kewangan memberi kelonggaran berkaitan pinjaman perumahan kepada golongan berpendapatan rendah supaya golongan itu mampu membeli dan memiliki rumah sendiri.

Tuanku bertitah, berdasarkan pengamatan baginda, permintaan terhadap pembelian hartanah masih melebihi penawaran, tetapi terdapat faktor lain yang menghalang pembeli dan pelabur, iaitu kesukaran untuk mendapatkan kemudahan pinjaman bank.

“Sekiranya pihak bank tidak memberi peluang kepada golongan muda berpendapatan rendah untuk membuat pinjaman, maka sampai tua lah mereka tidak akan memiliki rumah sendiri.

“Saya berharap pihak bank memberi kelonggaran pinjaman bagi mengatasi masalah ini.

“Saya juga mencadangkan kerajaan agar memperbanyakkan lagi skim rumah sewa-beli untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri ,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada perasmian Pembukaan Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-13, di Bangunan Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Baginda dalam titahnya turut memuji pentadbiran Menteri Besar dan barisan kepimpinannya kerana berjaya mentadbir Johor dengan baik dan cemerlang.

“Tahniah saya ucapkan  kepada Menteri Besar Johor  dan barisan kepimpinannya  kerana telah berjaya mentadbir Negeri Johor dengan baik dan cemerlang.

“Berdasarkan kepada laporan kewangan  kerajaan negeri pada tahun 2014, kerajaan mempunyai rizab tunai sebanyak RM2.3 bilion, berbanding hanya RM1.7 bilion pada tahun sebelumnya.

“Prestasi yang baik ini mestilah dikekalkan, kerana dengan kedudukan kewangan yang kukuh, barulah kerajaan berupaya untuk melaksanakan program pembangunan bagi memenuhi tuntutan dan keperluan rakyat,” titah baginda.

Selain itu, baginda juga mahu supaya sistem sekolah satu aliran di Singapura dijadikan contoh sebagai model perpaduan rakyat.

“Satu perkara menarik yang boleh kita contohi daripada Singapura, adalah perpaduan rakyat yang telah dibentuk daripada sistem pendidikan asas satu aliran dan yang menggunakan bahasa inggeris sebagai bahasa pengantar.  Ianya terbukti berkesan dalam pembangunan negara dan penyatuan masyarakat yang berbilang bangsa.

“Oleh itu saya mengesa rakyat Johor supaya berfikiran terbuka terhadap sistem pendidikan negara, dan sanggup untuk berubah demi kemakmuran masyarakat dan pembangunan jangka panjang.

“Pendidikan adalah asas kepada pembentukan generasi akan datang.  Sekiranya di peringkat kanak-kanak lagi pendidikan telah dibuat secara berasingan, berasaskan kaum dan bahasa, maka sampai bila-bila pun akan wujud ruang perbezaan dalam masyarakat majmuk di malaysia.

“Saya yakin sistem pendidikan sekolah satu aliran akan mewujudkan integrasi kaum di peringkat kanak-kanak dan seterusnya menghasilkan sebuah masyarakat yang lebih harmoni, bersatupadu dan berdaya saing untuk menempuh cabaran yang akan dating,” titah baginda lagi.

Dalam titahnya, baginda turut menegur pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan ke atas perkhidmatan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Saya dimaklumkan bahawa pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan juga turut diarah mengenakan GST terhadap perkhidmatan yang diberikan.

“Perkara ini adalah tidak masuk akal, kerana perkhidmatan kerajaan adalah tanggungjawab asas kepada rakyat, dan tidak wajar untuk ditambah lagi dengan beban bayaran GST oleh rakyat.

“Oleh itu, saya minta Kerajaan Negeri dan PBT supaya tidak mengenakan GST terhadap perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat, dan meminta pengecualian daripada Kerajaan Persekutuan.

Baginda juga mahu undang-undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) dikaji semula supaya selaras dengan enakmen lain yang berkuatkuasa di negeri ini.
 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial