LPHJ mantapkan Pendirian Kerajaan Negeri Terhadap Konsep Raja Berpelembagaan

image (1)

NUSAJAYA: Sebanyak 10 pindaan yang dilakukan terhadap Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) mampu memantapkan lagi pendirian kerajaan negeri berkaitan konsep raja berpelembagaan.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah dimaklumkan pindaan berkenaan dan baginda tiada halangan berkaitan pindaan ini.

Jelas beliau, Sultan akan bertindak di atas nasihat Menteri Besar di mana ia termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Menurutnya lagi, mengikut prinsip asas, kuasa eksekutif dilaksanakan oleh Menteri Besar yang telah mendapat mandat dari rakyat.

"Kita sampai ke episod yang mana kita lalui berakhir dalam keadaan baik dan kerajaan negeri dapat bergerak untuk menjayakan dan mencapai sasaran serta perancangan menyediakan perumahan serta mengatasi isu.

"Saya hanya bersangka baik terhadap semua komen dibuat oleh media massa dan meneruskan usaha pembentangan ini.

"Sesetengah fakta dikelirukan dan pindaan ini membuktikan kita tiada niat untuk membelakangkan prinsip raja berpelembagaan sebaliknya mempertahankannya.

"Kita berharap tiada mana-mana pihak meragui, sangsi terhadap usaha yang kita lakukan. Kita beri jaminan sebagaimana undang-undang lain, Enakmen ini juga dipinda daripada semasa ke semasa sekiranya perlu mengikut kehendak zaman," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbarnya selepas rang undang-undang berkenaan diluluskan dalam Persidangan Dewan Negeri, di sini semalam.

Mohamed Khaled berkata, lembaga berkenaan dijangka akan mula beroperasi pada suku pertama tahun hadapan (Mac).

Jelasnya lagi, ia berikutan proses pelantikan ketua pegawai eksekutif mahu pun warga kerja dalam lembaga berkenaan akan mengambil masa.

Menurutnya, tugasan yang bakal dipikul berkenaan bukan sesuatu yang mudah sebaliknya perlu berdepan dengan cabaran.

"Saya berharap wakil rakyat akan cuba memberi penerangan berkaitan enakmen ini kepada masyarakat," katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial