LUKIS SENDIRI KAIN RENTANG

image

PONTIAN – Seorang ketua kampung di sini memilih melukis sendiri kain rentang yang mempunyai logo ‘sehati sejiwa’ untuk diletakkan di hadapan rumahnya bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Merdeka.

Md Aman Marsin, 68, berkata, dia mahu mengembalikan nostalgia penggunaan kain rentang hasil buatan tangan yang pernah popular suatu masa dahulu sebelum kemunculan kain rentang cetak pelbagai saiz sekarang.

Ketua Kampung Parit Mesjid ini berkata, dia pernah menghasilkan banyak kain rentang yang digunakan pada sambutan Hari Merdeka dan ceramah parti politik tatkala menjelang pilihan raya umum sekitar tahun 80an.

”Zaman dahulu dan sekarang berbeza. Sekarang semuanya mudah, kain rentang untuk sambutan kemerdekaan semakin cantik, pelbagai warna dan gambar dicetak cepat.

“Berbanding dahulu, untuk menghasilkan sebuah kain rentang prosesnya agak sukar kerana dihasilkan dengan lukisan tangan dan biasanya warna Jaluar Gemilang, merah, biru, kuning, putih, merah jadi pilihan ketika itu,” katanya di sini, semalam.

Bapa 11 cahaya mata itu berkata, dia seronok menghasilkan sendiri kain rentang untuk sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini, malah turut dibantu isteri dan cucunya yang tidak ketinggalan hiasi rumah dengan menggantungkan Jalur Gemilang.

“Pakcik harap kain rentang di hadapan rumah dapat beri kesedaran tentang semangat kemerdekaan dan menyemarakkan lagi bulan kemerdekaan.

“Bukan kos yang patut jadi halangan, kerana nilai yang kecil mampu jadi sesuatu yang berharga sekiranya dilakukan dengan penuh kesungguhan.,"  katanya yang membelanjakan RM200 untuk menghasilkan kain rentang berkenaan.- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial