M7 ENERGY TEMBUSI PASARAN EROPAH

gambar-drive-m7

KUALA LUMPUR  – Mutiara Motors menerusi anak syarikatnya, Mutiara Food & Drinks Sdn. Bhd. optimis dapat mencapai jualan 1 juta tin produk minuman bertenaga baharunya, M7 Energy di pasaran Eropah kerana permintaan yang memberangsangkan walaupun baru sebulan dilancarkan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Kemin berkata, produk berperisa manggis yang dikeluarkan khas untuk pasaran Eropah terbabit kini telah menembusi Republik Czech dan diedarkan oleh syarikat Estass CZ dari negara tersebut.

Katanya, syarikat terbabit juga akan menjadi pengedar untuk negara-negara lain di Eropah termasuk Macedonia, Serbia, Croatia, Poland, Slovokia, Hungary, Itali, Rusia, Austria, Jerman, Bosnia, Montenegro dan Kosovo.

“Dengan penembusan pasaran Eropah ini, kami jangkakan ia dapat menyumbang sebanyak 20 hingga 30 peratus jualan syarikat untuk produk minuman keluaran kami.

“Eropah menjadi pilihan kami kerana jenama ini telah dikenali melalui penajaan kami dalam SIC Racing Team dalam perlumbaan motosikal (MotoGP). Malahan pengedar kami di sana yang terlebih dahulu mendekati kami untuk membawa produk ini ke sana,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Ahmad, selain pasaran domestik dan terbaharu di Eropah, syarikat juga berjaya menembusi pasaran Singapura, Indonesia, Brunei dan Amerika Syarikat (AS) dengan produk minuman Drive M7.

Sementara itu, beliau juga menyasarkan jualan sebanyak dua juta tin minuman tenaganya untuk tempatan dan di pasaran Asia yang lain untuk setiap bulan.

“Kami juga kini dalam perbincangan untuk meluaskan rangkaian ke Thailand, Vietnam dan Qatar.

“Ketika ini, bahagian minuman tenaga ini merupakan segmen perniagaan yang penting kepada syarikat dengan sumbangan pendapatan sebanyak 40 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, Mutiara Motors juga terlibat dalam pengeluaran produk minyak pelincir, M7 Pro Oil untuk kegunaan motosikal yang menyumbang 40 peratus kepada pendapatan syarikat di samping segmen penjualan kereta dengan permit import (AP) sebanyak 20 peratus. – UTUSAN MALAYSIA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial