MAHASISWA TEKAD CIPTA REKOD

image (2)

PASIR GUDANG – Mahasiswa semester tiga Ijazah Sains Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau tekad mencipta rekod dalam Malaysian Book of Record bagi kategori Jelajah Solo Berkasut Roda Terjauh sempena sambutan kemerdekaan dan Hari Malaysia tahun ini.

Azam Mohd Saidid, 21 berkata, jelajah solo itu yang bermula pada 17 Ogos lalu di UiTM Shah Alam dan tamat pada16 September akan membabitkan perjalanan sejauh 2,153 kilometer dengan 12 lokasi persinggahan.

“Sepanjang jelajah ini saya akan bergerak solo menggunakan kasut beroda dan berhenti di kampus-kampus UiTM di semenanjung Malaysia antaranya di Seremban, Jasin, Arau, Permatang Pauh dan Dungun.

“Jelajah ini akan tamat pada 16 September di UiTM Shah Alam sebagai destinasi terakhir. Jelajah ini bertujuan menyampaikan mesej keamanan sempena sambutan kemerdekaan dan Hari Malaysia tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelepasan UiTM-Graha Karsa Rollerblades Solo Journey di lokasi persinggahan keempat di UiTM Seri Alam, di sini semalam.

Katanya, setakat ini beliau berjaya memecahkan rekod kelajuan bagi pemain kasut roda profesional dengan pencapaian 57 kilometer sejam (kmj) berbanding hadlaju maksimum yang ditetapkan 37kmj.

“Dalam siri jelajah ini saya berjaya mencapai sehingga 57kmj dan mampu menjimatkan masa perjalanan saya. Jadi saya dapat berehat dalam tempoh lebih lama sebelum memulakan perjalanan seterusnya.

“Namun saya juga akan menghentikan perjalanan mengikut faktor fizikal, cuaca dan keadaan jalan raya. Sepanjang jelajah ini saya turut diiringi 13 petugas dari kru keselamatan, perubatan dan pegawai sukan UiTM,” katanya. – SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial