MAINJ Sedia RM13.2 juta Bantuan Raya

1506_ZakatJOHOR BAHRU 15 Jun – Seramai 58,932 ketua keluarga dan tanggungan mereka dalam kalangan asnaf di negeri ini akan menerima bantuan Aidilfitri berjumlah RM13.2 juta daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Mohd. Rofiki Shamsudin berkata, jumlah itu meningkat berbanding seramai 53,236 penerima pada tahun lalu melibatkan peruntukan sebanyak RM12.1 juta.

Beliau berkata, bantuan itu merupakan salah satu daripada Skim Bantuan Zakat pada tahun ini bertujuan untuk membantu meringankan beban kewangan golongan berkenaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Bagi setiap ketua keluarga fakir, mereka akan menerima bantuan RM600 manakala tanggungannya RM60 dan ketua keluarga miskin pula RM400, manakala tanggu­ngannya RM50.

“Semua mereka akan menerima bantuan ini bermula minggu kedua Ramadan bagi memudahkan penerima membuat persiapan sempena sambutan Hari Raya tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.

Mohd. Rofiki mem­beritahu, semua penerima itu telah dibanci dan disokong layak di peringkat Jawatankuasa Masjid Kariah dengan amil fitrah bertindak sebagai urusetia dan seterusnya disahkan oleh pihak baitulmal daerah.

Menurutnya, Batu Pahat mencatatkan penerima teramai, iaitu 4,621 ketua keluarga fakir dan miskin melibatkan agihan seba­nyak RM2.3 juta, diikuti daerah ini (4,019 penerima, RM2 juta) dan Muar (2,735 penerima, RM1.3 juta).

Pasir Gudang pula mempunyai seramai 2,544 penerima melibatkan bantuan sebanyak RM1.2 juta, diikuti Kota Tinggi (2,462 penerima, RM1.9 juta), Kluang (2,462 penerima, RM1.1 juta), Segamat (1,902 penerima, RM932,320), Mersing (1,705 penerima, RM968,070), Pontian (1,575 penerima, RM790,760), Ledang (1,370 pene­ri­ma, RM670,220) dan Kulai (1,131 penerima, RM626, 650).

Beliau berkata, majlis penyerahan bantuan itu akan diadakan di setiap daerah bagi memastikannya dapat disampaikan dengan lebih efisien. – UTUSAN

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial