MAJLIS KESIHATAN NEGERI JOHOR BAKAL DITUBUH MUDAHKAN PENYALURAN BANTUAN KERAJAAN NEGERI

11949431_1085035241509271_3519271078847464538_n

JOHOR BAHARU, 29 Ogos — Kerajaan negeri Johor akan menubuhkan Majlis Kesihatan Negeri Johor tahun depan bagi memudahkan penyaluran bantuan kerajaan negeri sekali gus memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik  kepada masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Datuk Ayub Rahmat berkata majlis berkenaan merupakan pertama seumpamanya di negara ini.

Penubuhan majlis itu bagaimanapun masih di peringkat perangkaan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Johor bagi diperhalusi.

“Sebenarnya di peringkat negeri, kita menghadapi masalah kerana Jabatan Kesihatan Negeri Johor tidak menerima peruntukan daripada kerajaan negeri.

Sekarang ini peruntukan hasil inisiatif Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin terutamanya peruntukan untuk menangani denggi sukar untuk disalurkan secara terus dan perlu menerusi UPEN.

“Sehubungan itu, dengan adanya Majlis Kesihatan ini, segala peruntukan dapat disalurkan terus kepada majlis berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup Karnival Kesihatan Hospital Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Ayub berkata selain memudahkan penyaluran bantuan, penubuhan majlis itu juga dapat meningkatkan kualiti pemudah cara antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat serta pihak masyarakat dan hospital di negeri ini.

Menurut Ayub, Majlis Kesihatan tersebut akan dipengerusikan beliau sendiri selain dianggotai Pengarah Kesihatan Negeri Johor Datuk Dr Mohd Khairi Yakub dan beberapa anggota jabatan berkaitan.

“UPEN sekarang ini dalam perancangan untuk memanggil jabatan berkaitan untuk dibawa ke bengkel bagi memperhalusi fungsi dan tujuan penubuhan majlis ini selain sedang merangka beberapa perkara untuk dibincangkan di dalam bengkel itu.

“Sekiranya lulus (penubuhan Majlis Kesihatan) dan dapat peruntukan tahun depan, maka, kita akan dapat menyalurkan peruntukan menerusi majlis terbabit,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai nasib seorang doktor muda yang merakam gambar secara selfie ketika merawat pesakit wanita di salah sebuah hospital di sini baru-baru ini, Ayub berharap pihak bertanggungjawab tidak membunuh karier doktor itu kerana akan menyebabkan negara kehilangan tenaga sumber manusia.

Ayub berkata tindakan tata tertib perlu dikenakan terhadap doktor itu kerana ia melibatkan etika kedoktoran tetapi dia perlu diberi peluang untuk meneruskan kerjayanya dan belajar daripada kesilapan itu.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial