Majlis Perasmian Persidangan UMNO Bahagian Parit Sulong 2017

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN 

PENGERUSI BADAN PERHUBUNGAN UMNO JOHOR

BERSEMPENA

MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN UMNO BAHAGIAN PARIT SULONG 2017

DI MAKTAB RENDAH SAINS MARA, BATU PAHAT, JOHOR

PADA HARI SABTU, 12 OGOS 2017, JAM 9.30 PAGI

 


 

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Salam Muafakat Johor dan Salam Negaraku Malaysia,

 

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi,

Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden.

 

Yang Berhormat Dato’ Zulkurnain bin Haji Kamisan,

Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong,

 

Yang Berhormat Dato’ Ir. Hasni bin Mohammad,

Wakil UMNO Negeri,

Ketua-ketua UMNO Bahagian dalam Negeri Johor yang turut hadir,

Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor,

Yang Berbahagia Timbalan Ketua Bahagian dan Naib Ketua Bahagian,

Yang Berbahagia Ahli-ahli Jawatankuasa, Ketua-ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan  Puteri UMNO Bahagian Parit Sulong,

Pimpinan parti-parti komponen Barisan Nasional,

Dif-dif jemputan dan seterusnya para perwakilan UMNO Bahagian Parit Sulong yang saya hormati sekalian.

 

Pertamanya, marilah kita bersama-sama mengalu-alukan kehadiran Yang Amat Berhormat Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Pemangku Timbalan Presiden UMNO ke Parit Sulong pada pagi yang berbahagia ini.

Kunjungan beliau yang kerap ke Johor, bukan sahaja sangat menggembirakan kita. Tetapi sangat kita alu-alu dan raikan.

Sudah menjadi adat kami orang Johor untuk meraikan tetamu. Ia menunjukkan betapa akrabnya hubungan Johor dengan kepimpinan tertinggi parti serta kepimpinan Kerajaan Pusat.

Kita sentiasa saling berhubung.  Saling rapat dan saling mengambil berat dalam semua urusan parti dan urusan kerajaan.  Dan perkara inilah yang terserlah dengan kehadiran Datuk Seri ke sini hari ini.

Kepada UMNO Parit Sulong, ambillah kesempatan untuk bermusyawarah dan membincangkan rencana parti dan perjuangan bangsa.

Dan dalam kesempatan ini, saya mohon mengingatkan semua ahli parti tentang 3 perkara penting.

 

PERTAMA, Johor adalah benteng paling penting UMNO, dan ia akan terus menjadi benteng terkuat kita untuk seumur masa.

UMNO dan Johor sangat sebati. Pada kami di sini, “UMNO adalah Johor, Johor adalah UMNO”. Dan di Johor, “Melayu itu UMNO dan UMNO itu Melayu”.

Johor bukan sekadar tempat UMNO dilahirkan. Tetapi, di Johor ini juga UMNO membidani kelahiran Malaysia.  Jadi kerana itulah, DNA Johor itu, ada UMNO di dalamnya.

Oleh kerana sebatinya UMNO dengan orang Melayu Johor, kita bertanggungjawab memastikan kelangsungan UMNO. Bukan hanya di Parit Sulong dan Johor, tetapi di seluruh pelusuk negara.

Pada kita di Johor, kelangsungan UMNO bermakna kelangsungan politik orang Melayu. Kelangsungan UMNO bermakna kelangsungan kepada gerakan pencerahan, gerakan amal bakti dan gerakan kesederhanaan.

Ia adalah kelangsungan kepada perkara yang jauh lebih besar dan bermakna. Bukan sekadar mengenang tempat lahirnya UMNO.

Atas pegangan dan pemahaman inilah, kita mesti pastikan perpaduan dan muafakat antara kita terus kukuh dan teguh.  Jangan sesekali benarkan ada rekahan dalam parti. Jangan sesekali membiarkan hadirnya ‘bibit dan racikan yang mampu melentur dan meluntur rona dan tenunan fabrik’ kesatuan parti.

Di Johor, jangan wujud perpecahan dalam kamus UMNO. Yang ada hanyalah persahabatan, persaudaraan dah keeratan hubungan antara para pejuang bangsa.

Kerana, kita faham, sekali UMNO Johor merekah dan berpecah, ia akan menjadi pemula kepada perpecahan yang mampu merebak kepada UMNO secara keseluruhannya.

Dan perkara ini bukan sahaja disedari oleh kami. Tetapi oleh semua pihak. Termasuklah pembangkang yang kini berpakat untuk menjual janji dan harapan.

Jika tidak, mana mungkin mereka bersungguh-sungguh menyerang Johor dalam segala kesempatan yang ada. Melainkan mereka sedar dan faham, bahawa “Johor adalah nadi UMNO. Dan UMNO adalah nadi Johor”.

Semuanya bermula di Johor. Negeri ini adalah satu-satunya benteng terkuat UMNO yang sangat sukar ditembusi oleh mana-mana pihak.

Jika UMNO di Johor terjerumus dalam kancah pecah belah, UMNO di Malaysia secara langsungnya akan terjebak dan terheret ke kancah kesusutan pengaruh dan dukungan orang Melayu.

InsyaAllah Datuk Seri, kami tidak akan biarkan ini berlaku. Setidak-tidaknya bukan pada zaman kita, dan bukan di depan mata kita.

 

KEDUA, sebagai benteng terkuat UMNO, ia menuntut lebih dari sekadar menjadi ahli yang setia.

Kalau pembinaan benteng terkuat ini hanya memerlukan kesetiaan, banyak sekali yang boleh bersetia. Ramai yang boleh berjanji untuk setia. Berikrar, malah mengangkat sumpah.

Tetapi, untuk menjadi benteng terkuat, kesetiaan itu mesti diterjemahkan dengan sebenar-benarnya.

Kita mesti bersedia memberi pada parti, bersedia menyumbang dalam segenap hal yang diperlukan, tidak lokek dengan tenaga, tidak berkira dengan masa, tidak menuntut penghargaan dan tidak mengharapkan balasan.

Hanya dengan melakukan semua ini, nilai dan kualiti kesetiaan kita akan benar-benar teruji dan terserlah.

Jadi, saya mengambil kesempatan ini menyeru kepada semua di Parit Sulong, malah kepada semua di seluruh Johor.

Marilah kita terjemah dan buktikan kesetiaan kita kepada parti. Marilah kita bekerja untuk parti. Marilah kita memberi dan berjuang untuk parti.

Parti akan terus hidup jika ramai yang bersumpah dan setia. Tapi hidupnya akan sekadar hidup. Tetapi lesu dan tidak punya keampuhan.

Namun, jika kesetiaan itu kita terjemahkan dengan sumbangan, dengan bekerja keras, dengan kesungguhan untuk berbakti, parti ini akan terus hidup dan berkembang.

UMNO akan menjadi kuat bila semua ahlinya, memberi untuk parti. Bekerja untuk parti. Menyumbang untuk parti.

Terutamanya pada saat dan ketika ini. Saat dan ketika yang menyaksikan pilihan raya semakin dekat.

Dan menjelang pilihan raya ini, kita akan mula ditentang oleh pelbagai pihak. Oleh mereka yang tidak mahu melihat Johor menjadi yang terbaik. Oleh mereka yang merajuk panjang dengan kita. Oleh mereka yang suka menangguk di air keruh. Oleh mereka yang mahu melihat perpecahan UMNO.

Jadi, kita tidak boleh lalai dan leka. Kita mesti mula bekerja keras untuk PRU yang akan datang. Bermula hari ini, saat ini.

Tiada istilah cuti, tiada istilah penat, tiada istilah lelah.

Tiada istilah menunggu mood pilihanraya, tiada istilah menunggu seru. Tiada istilah ‘sebentar’ dan akan melakukan ‘pecutan saat akhir.’

Kesemua itu hanyalah alasan yang harus kita elakkan.

Selagi UMNO belum menang besar, selagi kelangsungan politik orang Melayu Islam di Johor belum terjamin, selagi itulah kita tidak akan berhenti.

Kerana, perjuangan parti, perjuangan bangsa hanya akan benar-benar dilihat dan berjaya apabila kita memenangi pilihan raya.

Tanpa kemenangan dalam pilihanraya, kita akan jadi parti yang tiada kuasa politik. Tanpa kuasa politik, orang Melayu akan hilang wadah memajukan bangsanya.

Ingatlah, dunia ini bukan masa untuk berehat bagi mereka yang mengerti makna perjuangan bangsa. Dunia ini bukan untuk berehat bagi mereka yang mahu memartabatkan agama.

 

Tuan-tuan dan puan-puan;

Ramai antara kita yang mempunyai pemikiran bahawa mereka sebenarnya kerdil dalam parti. Mereka berasa bahawa kalau mereka melakukan sesuatu, ia terlaku kecil dan tidak akan memberikan kesan kepada parti. Kerana, mereka bukan ketua bahagian, mereka bukan jawatankuasa bahagian, mereka bukan siapa-siapa di cawangan dan sebagainya.

Maka hari ini, saya ingin membetulkan persepsi ini. Ia mesti diubah. Kerana, siapa pun kita, di mana pun kita, apa pun kedudukan kita dalam parti, kita mempunyai tugas dan tanggungjawab yang besar dan sama pentingnya dengan pemimpin parti.

Kelangsungan parti, kelangsungan bangsa dan agama di negeri Johor dan tanah air ini, tergalas dan terpikul di atas bahu setiap mereka yang hidup atas nama Islam, yang hidup atas nama Melayu.

Jadi, marilah bekerja. Gunakan kelebihan yang ada pada kita untuk menyumbang dengan cara kita.

Yang berada, sumbangkan dana pada parti. Yang berilmu, sumbangkan idea. Yang pandai berhujah, bercakaplah bagi pihak parti.

Yang punya kelapangan, hulurkan tenaga dan masa. Jadi sukarelawan parti. Jadi penggerak parti.

Bila kita semua kembali ke rumah nanti, ingatlah apa yang saya sampaikan ini. Beritahu semua yang kita jumpa dan kenal. Ahli keluarga, sahabat handai, jiran tetangga. Sesiapa sahaja.

Beritahu mereka tentang perjuangan UMNO dan Melayu Johor. Sedarkan mereka, ini bukan tentang masa depan kita sahaja, tetapi ia adalah tentang masa depan mereka juga.

KETIGA, misi terbesar parti dalam 6 bulan akan datang ialah memenangi Pilihanraya Umum ke-14. Yang lain, semuanya sudah jatuh nombor dua.

 

Tuan-tuan dan puan-puan;

Kita mesti menang dengan impak terbesar. Menang dengan majoriti paling meyakinkan.

Dalam masa yang ada ini, segala kekuatan parti di Parit Sulong mesti digemblengkan untuk meraih kemenangan paling besar dalam sejarah Parit Sulong.

Kerana kemenangan besar di Parit Sulong, adalah sumbangan kita kepada pembentukan Kerajaan di peringkat Negeri dan di peringkat Pusat.

Walaupun kita tahu Parit Sulong adalah kubu kuat UMNO. Dan kawasan orang Melayu yang paling kental. Kita jangan ambil mudah. Kita kena pastikan orang Melayu di Parit Sulong ini, bangun dengan berani dan pastikan kemenangan paling meyakinkan.

Parit Sulong mesti menjadi bahagian penting dalam gelombang kebangkitan Melayu Islam dalam pilihan raya akan datang.

Gelombang yang akan memastikan kelangsungan kuasa Melayu Islam di Johor dan Malaysia. Gelombang yang akan membentuk Melayu mengekalkan kedudukan kita di seluruh negara.

Gelombang yang akan menghantar mesej paling jelas kepada semua rakyat Malaysia, bahawa UMNO adalah pencatur paling dominan dalam politik Melayu Islam di Malaysia.

Tiada kerajaan yang akan terbentuk tanpa UMNO. Tiada pemerintahan yang akan berlangsung tanpa UMNO.

Pilihan untuk orang Melayu hanya satu, yakni “UMNO”. Bukan Pas, Bukan Bersatu, Bukan Amanah, Bukan PKR dan pastinya bukan DAP.

Kerana UMNO inilah yang membangunkan Melayu dan Islam di Malaysia selama ini. UMNO inilah yang mengurus Malaysia yang berjaya ini.

UMNOlah yang meletakkan kedudukan kita pada tahap kebolehsaingan waktu ini. UMNOlah yang telah berkhidmat untuk orang Melayu. Dan orang Melayu terbela kerana UMNO kuat dan mampu berkhidmat.

Yang lain-lain itu, mereka hanyalah serpihan dari UMNO. PAS adalah serpihan dari UMNO. BERSATU adalah serpihan dari UMNO. PKR juga begitu.

Mengapa harus dilihat kepada ‘serpihan-serpihan kecil tersebut, sedangkan kerangka utamanya, tubuh besarnya, masih ada, masih bertenaga, malah bertambah kuat?’

Berdekad-dekad negara kita melihat parti-parti politik datang dan pergi. Mereka hadir dengan seribu cerita. Seribu janji. Seribu semangat kononnya mereka punya idea besar untuk agama, untuk bangsa, untuk negara ini.

Tetapi akhirnya, mereka tewas dan gugur satu per satu. Mereka gagal satu per satu.

Kerana mereka terlupa, saat mereka ke hulu dan ke hilir menabur janji yang manis, memberi harapan yang kabur, orang UMNO sedang bekerja keras, berkhidmat dan berbakti tanpa henti, tanpa jemu.

Dan mereka terlupa bahawa orang Melayu melihat semua ini. Mereka fikir orang Melayu adalah pengundi yang mudah diyakini. Yang hanya akan percaya bulat-bulat semua cerita mereka.

Sedangkan, pemikiran orang Melayu, percaturan politik orang Melayu, menjangkaui janji manis dan perhiasan sebuah trak yang diusung ke sana sini.

Maka kali ini, dalam masa 6 bulan ini, marilah sekali lagi kita bekerja keras untuk UMNO. Kita menangkan UMNO dengan kemenangan paling besar. Kemenangan paling meyakinkan. 

Kita leburkan angan-angan DAP dan konco-konconya.

Kita musnahkan harapan Pakatan 3 kepala. Biar mereka sedar mereka adalah pakatan yang tiada harapan.

Kita kuburkan cita-cita mereka untuk memerintah Johor untuk selama-lamanya.

 

Para perwakilan sekalian;

Selepas ini, marilah kita dengar dan beri perhatian kepada amanat Datuk Seri Zahid.

Kita ambil pemikiran bernas beliau untuk parti, supaya kita jadikan sandaran dalam perjuangan kita untuk UMNO. Untuk kita sampaikan kepada semua yang lain, yang tidak dapat bersama-sama kita hari ini, InsyaAllah.

Kepada Datuk Seri Zahid, terima kasih atas kesudian bertandang ke sini. Kami amat menghargainya.

 

Sekian, wabillahitaufik walhidayah

Wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial