Mangsa Banjir Di Johor Menurun

JOHOR BAHRU, 31 Jan. – Hanya tiga daerah di negeri ini masih dilanda banjir masing-masing di Segamat, Tangkak dan Muar sekali gus menunjukkan keadaan bencana itu semakin pulih dengan jumlah mangsa terjejas turut mencatatkan penurunan pada hari ini.

Setakat jam 8.00 pagi tadi, jumlah mangsa keseluruhan mangsa banjir daripada tiga daerah terbabit adalah seramai 1,390 iaitu daripada 384 keluarga yang ditempatkan di 22 pusat pemindahan.

Semua pusat pemindahan melibatkan lima daerah telah ditutup sepenuhnya selepas keadaan banjir dilokasi terlibat telah pulih iaitu di Johor Bahru; Mersing; Batu Pahat; Kota Tinggi dan Kluang.

Dua daerah yang tidak terjejas susulan banjir yang melanda negeri ini sejak minggu lalu adalah Kulai dan Pontian.

Bagi daerah Segamat, sebanyak 17 pusat pemindahan masih dibuka melibatkan jumlah mangsa terjejas adalah 982 daripada 264 keluarga manakala 53 pusat pemindahan telah ditutup.

Sementara itu, hanya enam keluarga dengan jumlah keseluruhan 25 mangsa masih ditempatkan di sebuah pusat pemindahan banjir di Tangkak manakala 14 pusat pemindahan telah ditutup.

Bagi daerah Muar, seramai 383 jumlah mangsa daripada 114 keluarga masih terjejas. Sebanyak empat pusat pemindahan masih beroperasi manakala empat lagi telah ditutup.

Lima laluan telah terputus hubungan akibat banjir masing-masing di Jalan Pagoh-Tekam dan Balai Badan Mensudut Lama di Segamat; manakala di daerah Muar melibatkan jalan Jalan Pagoh-Tekam dan jalan Muar-Labis. Sebuah jambatan di laporkan runtuh di Kampung Sungai Pinggan, Pontian.

Jumlah korban banjir di negeri ini telah mencatatkan dua kematian di Segamat. – Sinar Harian

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial