MB Johor Adakan Lawatan Ke Parlimen Johor Bahru

img_3843

JOHOR BAHRU, 3 Jan. – Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin hari ini mengadakan lawatan kerja sehari ke Parlimen Johor Bahru antara lain bagi meninjau keadaan di peringkat akar umbi.

Dalam lawatan itu beliau dijadual menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan Sekolah Agama bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang dan Tanjung Puteri di Dewan Raya, Kampung Bakar Batu, dekat sini.

Beliau turut dijadual melawat beberapa kawasan termasuk tapak bagi cadangan laluan keluar Kampung Bakar Batu dari Jalan Dewasa ke Jalan Pasir Pelangi dan tapak pembinaan Dewan Muafakat Johor di Jalan Jambatan yang diperuntukkan dalam Bajet Johor 2017.

Selain itu, Mohamed Khaled akan menyempurnakan majlis penyerahan replika kunci rumah di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) di Jalan Pantai, Kampung Bakar Batu.

Lawatan itu juga melibatkan kawasan jeti di Jalan Bayu Puteri iaitu cadangan penyediaan tapak baharu untuk Kelab Nelayan Kampung Bakar Batu bagi menggantikan tapak asal yang telah dijadikan kawasan penempatan.

Turut akan diadakan lawatan ke tapak pembangunan Taman Perbadanan Islam Stulang Baru yang akan menyaksikan pembinaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), selain lawatan ke kawasan rancangan penempatan semula penduduk Taman Sinaran Kempas.

Antara kawasan lain yang turut dijadual dalam lawatan itu ialah Jambatan Hajah Hasnah, Balai Raya Kampung Setanggi, Dewan Raya Kampung Kurnia, Taman Sutera dan Taman Suria.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial