MB Pantau Sendiri Projek Pembinaan RMMJ

GELANG PATAH: “ Saya sendiri secara peribadi akan memantau pelaksanaan projek rumah mampu milik di negeri ini,”.


Itu tegas Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin pada Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) –Denai Nusantara yang dibangunkan oleh UEM Sunrise di sini hari ini.

Beliau berkata, sebgai Menteri Besar, beliau menerima undangan pelbagai majlis pecah tanah dan majlis pecah tanah rumah mampu milik sering menjadi keutamaan.

“Tujuannya amat jelas hanya satu, bila saya hadir pecah tanah rumah mampu milik seperti ini, ia bermakna saya akan memantau sehingga rumah itu siap,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri amat komited memastikan projek RMMJ dilaksanakan di seluruh Johor sehingga menetapkan ia sebagai salah satu daripada Petunjuk Indeks Prestasi (KPI) Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri.

“Kalau projek seperti ini tidak terlaksana, maka saya akan panggil pemaju mahu pun sekurang-kurangya bertanya kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengapa tidak siap-siap rumah yang saya hadir majlis pecah tanah tempoh hari,” katanya.

Katanya lagi, dalam Bajet Negeri 2015 yang akan dibentangkan tidak lama lagi, terdapat beberapa lagi inisiatif berkenaan rumah mampu milik akan diumumkan.

“Tidak setakat itu, dalam Bajet Negeri 2015 yang akan dibentangkan Khamis akan datang, akan  ada lagi beberapa inisiatif yang akankita berikan supaya dapat memudahkan dan menggalakkan masyarakat untuk membeli rumah mampu milik dalam negeri Johor,“ katanya.

Mengenai projek Denai Nusantara, Mohamed Khaled berkata, sebanyak 1,109 unit rumah akan dibina di atas tapak seluas 16 hektar berhampiran pekan Gelang Patah.

Katanya, projek itu akan melibatkan pembangunan bercampur lengkap dengan kemudahan awam termasuk dewan serbaguna, surau, taman rekreasi dan pondok kawalan keselamatan.

“Ini semua secara tidak langsung dapat menepis persepsi mengenai rumah mampu milik yang sering digambarkan sebagai kawasan yang tidak dilengkapi dengan kemudahan asas, lokasi yang jauh, sempit serta tidak selesa,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Latif Bandi, Ketua Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim dan Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Berhad, Anwar Shahrin Abdul Ajib.
 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial