MDS Tubuh Pasukan Petugas Khas Kutip Cukai

SEGAMAT 30 Mac – Majlis Daerah Segamat (MDS) mewujudkan sebuah pasukan petugas khas untuk mengutip tunggakan hasil cukai taksiran bermula Januari lalu bagi mengurangkan masalah tunggakan yang ditanggung setiap tahun.

Yang Dipertuanya, Miswan Yunos berkata, sehingga 31 Disember tahun lalu, tunggakan cukai taksiran MDS berjumlah RM4.8 juta dan setakat bulan lalu pasukan petugas berkenaan berjaya mengutip semula sebanyak RM448,478.

“Tunggakan cukai ini dibahagikan kepada lima kategori, iaitu kediaman sebanyak RM2.4 juta, premis perniagaan (RM598,000), pertanian, pencawang dan lot kosong (RM1.4 juta), industri (RM144,000) dan pemancar (RM180,000).

“Perancangan untuk menggalakkan pembayar cukai membayar awal dan mengikut masa yang ditetapkan turut dilaksanakan dengan memberi insentif kepada mereka seperti cabutan bertuah dan cenderamata kepada yang terawal,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Penuh MDS bulan Mac 2017, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, kutipan hasil itu dapat membantu MDS merancang untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik dan sebagai pemangkin utama bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.

Katanya, ahli majlis turut boleh membantu dengan mengingatkan masyarakat mengenai kewajipan mereka sebagai pembayar cukai dan kegagalan berbuat demikian menyebabkan MDS tidak dapat memberikan perkhidmatan yang diperlukan.

Beliau mengakui terdapat banyak cabaran yang terpaksa dihadapi oleh MDS pada tahun ini dan akan datang terutamanya menghadapi kenaikan kos operasi dan meningkatkan hasil selain berdepan kekangan kewangan akibat tunggakan kutipan hasil.

“Pada masa sama, MDS juga telah merancang untuk menjadikan Gerai MDS di Jalan Muar, di sini sebagai destinasi utama bagi pengunjung untuk menjamu selera selain akan menaik taraf kemudahan yang ada seperti penggantian kerusi, pemasangan jalur lebar tanpa wayar (WiFi), pemasangan lampu hiasan dan gegantung diod pemancar cahaya (LED),” katanya. – Utusan

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial