MEDIA PERLU WASPADA SIAR KENYATAAN

image (4)

KUALA LUMPUR – Pihak media dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan yang mengundang implikasi serta menjejaskan ketenteraman awam.

Perkara ini dinyatakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, susulan laporan  portal berbahasa Inggeris mengenai pertukaran Datuk Abdul Hamid Bador ke Jabatan Perdana Menteri yang bertajuk
Senior Special Branch Officer Gets Sudden Transfer To PM’s Dept, Told To Go On Long Leave.

Menurutnya, laporan ini telah dikongsi media-media sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi dan persepsi yang terpesong.

“Datuk Abdul Hamid Bador tidak pernah diarah untuk pergi bercuti kerana percutian beliau adalah atas permohonannya untuk tujuan berehat. Selain itu, Datuk Abdul Hamid Bador sedia maklum tentang pertukaran tersebut yang ditawarkan selepas beliau menarik balik hasrat untuk bersara awal.

"Malah, pertukaran beliau sebagai Timbalan Pengarah Isu-Isu Keselamatan dan Transnasional (SIS) adalah sebagai satu pengiktirafan atas kemampuan beliau dalam menangani isu-isu keselamatan.

“Pertukaran beliau (Abdul Hamid) keluar dari PDRM bukanlah sesuatu yang Out Of The Ordinary (luar biasa), sebelum ini Tan Sri Bakri Omar, Tan Sri Zaman Khan, Datuk Sri Zulkifli Md Noor dan saya sendiri pernah ditempatkan di beberapa agensi kerajaan bagi tujuan tuntutan dan keperluan asas,” katanya.

Beliau berkata, dalam laporan tersebut yang menyebut majlis serah terima tugas yang dibuat secara tertutup dengan kiasan atas sebab-sebab tertentu, merupakan satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

“Dakwaan cawangan khas sedang melalui proses ‘pembersihan’ bagi menggantikan pucuk pimpinan tertingginya dengan pengarah dan timbalan pengarah baharu adalah fitnah.

“Ini kerana, pengarah baharu (Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun) adalah bekas pegawai cawangan khas berpengalaman dan dilantik menggantikan Datuk Seri Akhil Bulat yang bersara selepas beberapa kali melanjut tempoh kontrak perkhidmatannya,” katanya. – SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial