MENDEPANI 2016 DENGAN SEMANGAT MEMBARA, HARAPAN YANG BESAR DAN KETERUJAAN BERPANJANGAN

1175246_10151606042508173_967633851_n

Warga Johor Yang Dikasihi,

Dengan berlabuhnya tirai 2015 dan hadirnya tahun baharu, marilah kita bersama-sama mengimbas dan bermuhasabah tentang tahun lalu yang penuh dengan warna warni. Bukan sahaja bagi negara kita tetapi juga bagi Negeri Johor. Kita bukan sahaja telah berhadapan dan keluar daripada pelbagai cabaran getir, namun berjaya mencapai penambahbaikan yang amat besar dalam banyak pekara.

Maka bagi tahun 2016 – dan seterusnya – kita jelas dengan halatuju dan fokus kita. Kita harus memberikan perhatian kepada ikhtiar membina masa depan yang lebih baik. Di sebalik segala kegawatan kewangan global dan kelemahan matawang serantau yang teruk, kita hendaklah berusaha untuk kekal kukuh dan berdaya saing. Kita mesti memberikan perhatian dalam meningkatkan rasa bangga dan kekitaan di kalangan masyarakat melalui semangat muafakat. Kita hendaklah melupakan dan meninggalkan segala salah tanggapan dan perkara negatif dan merapatkan kembali jurang antara kita.

Fajar tahun 2016 cerah dan menjanjikan seribu harapan. Kita mempunyai 366 hari yang bakal dipenuhi dengan nilai ihsan dan iltizam yang kuat. Setiap hari adalah umpama kertas kosong. Maka saya ingin mengajak semua untuk bersama-sama berganding bahu dengan saya untuk menulis naratif baharu bagi Negeri Johor, agar kita dapat mendepani tahun 2016 dengan semangat yang membara, harapan yang besar dan keterujaan yang berpanjangan.

Selamat Tahun Baharu 2016!

Mohamed Khaled Nordin

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial