Meneroka Potensi Harta Wakaf

img_0817

 

Oleh Mohamed Khaled Nordin

Dalam tradisi Islam, tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima. Ia seiring fitrah Islam yang menganjurkan kesejahteraan ummah dengan menitik beratkan soal pengorbanan, sama ada tenaga dan juga harta. Wakaf adalah instrumen penting yang dapat mencapat kemaslahatan dan membangun kemandirian ummah. Wakaf boleh membangunkan pemerkasaan insan dengan ilmu pengetahuan.

Lihat sahaja bagaimana Universiti Al-Azhar yang didirikan hasil wakaf oleh mereka yang cintakan ilmu dan pendidikan sehingga dapat melahirkan ilmuan yang berbakti kepada agama dan negara. Justeru, sudah tiba masanya kita berusaha bersama-sama mencari jalan untuk membongkar seluas-luasnya potensi dan kekuatan sebenar waqaf. Pembangunan waqaf mesti diarusperdanakan sebagai kaedah paling ampuh melakukan transformasi bangsa dan tanah air.

Ketika berucap dalam Persidangan Waqaf Antarabangsa Johor 2016, saya diberi peluang merumuskan tiga aspek penting mengapa waqaf mesti diberi perhatian. Pertama, waqaf adalah penyelesaian ditawarkan Islam. Ia bukan rekaan dan idea yang tercetus dari akal manusia. Ia bukan lahir dari pemikiran biasa-biasa tetapi bersumberkan wahyu. Ia adalah saranan dari Pencipta kepada kita hamba-Nya. Sejak sekian lama, ia menjadi jalan Islam membangunkan ummah, ekonomi, pendidikan, prasarana dan kesejahteraan sosial. Malah membangunkan ruang yang menenuhi keperluan spritual ummah.

Sehubungan dengan itu, mana mungkin penyelesaian yang bersandarkan al-Quran, hadis dan banyak sekali contoh di pelbagai dunia Islam, boleh dipandang ringan kepentingannya. Sehinggakan kita biar ia terlepas dari radar pembangunan Islam di Malaysia ini. Dan jika ia adalah penyelesaian bersandarkan wahyu, maka kita mempunyai kewajipan yang sangat besar untuk menjayakannya. Menjayakan waqaf itu bererti berusaha menyebarkan syiar dan ajaran Islam. Malah memajukan waqaf itu, bermakna memajukan Islam.

Kedua, Islam itu mengenai kesejahteraan dan nilai kemasyarakatan yang saling mendukung. Islam sebenarnya melampaui konsep dan kerangka sebuah kerajaan atau negeri atau Institusi. Islam adalah pada nilai dan dukungannya kepada masyarakat. Ia mengenai mereka yang bertaqwa dan pada masa sama, mempunyai hubungan yang baik dengan mereka di sekelilingnya. Dan jika Islam itu mengenai kemasyarakatan, maka wakaf itu adalah kaedah bagaimana Islam mengelola penganutnya. Kerana dalam Islam, semua orang punya peranan dan tanggungjawab. Semua harus menyumbang kepada lingkungannya, iaitu dari sekecil-kecil sumbangan, sehinggalah ke sebesar-besar peranan. Yang kaya, jangan lupa memberi pada yang memerlukan. Yang berharta, jangan lupa digunakan untuk jalan kebaikan. Kerana kita diajar bahawa sebahagian limpahan harta kita itu, tidak lain dari amanah. Pinjaman dan milik orang lain yang harus kita agih-agihkan dengan bertanggungjawab.

Manfaat Ummah

Oleh itu, apa jua harta yang diwakaf, ia untuk manfaat masyarakat dan kemajuan umat. Ia mesti diusaha dan dibangunkan untuk manfaat Islam dan seluruh manusiawi. Bukan dijadikan harta pegun, terbiar dan terkumpul tanpa manfaat kepada orang lain. Maka, jika kita ada ribuan hektar tanah wakaf yang gagal dibangunkan, kita sebenarnya gagal dalam tanggungajwab dan amanah kita. Kita mengagalkan Islam dan ajarannya.

Kita menggagalkan Islam dan ummatnya. Natijah dan impak kegagalan ini, jika diperhalusi, adalah amat besar. Ia bermakna, menafikan peluang belajar untuk mereka yang berpotensi. Ia serupa menafikan peluang ribuan pesakit yang memerlukan rawatan, seakan menafikan peluang ribuan ibu tunggal, golongan dhuafa dan fakir, mereka perlukan peluang berniaga, mendapat kemahiran, membina kehidupan lebih baik. Yang semuanya tidak mungkin berlaku, melainkan jika aset wakaf yang kita ada dibangunkan dengan sebaiknya menjadi sekolah, hospital, pasaraya, pusat kemahiran dan universiti untuk kesejahteraan ummah.

Ketiga, telah sampai masanya kita meneroka wakaf sebagai satu model Islam untuk membangunkan potensi Malaysia. Selama ini, kita selalu sekali menjadikan “blueprint” modernisasi Barat sebagai sandaran untuk membangun dan menjadi maju. Kita pro-Eropah. Kita ‘pandang ke Timur’. Kerana kita beranggapan model Barat itu sesuai, terbukti dan terbaik. Sehingga kita terlupa dan terlepas pandang, betapa jati diri kita itu dipasak pada keunggulan Islam. Apakah kita lupa bahawa Islam itu bukan sekadar agama? Apakah kita lupa ia tatacara hidup berperadaban besar, maju, merentas zaman?

Jadi, marilah kita kembali kepada cara hidup ini. Segala solusi dan panduan untuk selesaikan pelbagai masalah mendepani Malaysia yang semakin deras berubah ini. Kita percaya wakaf antara cara yang perlu kita berikan perhatian secara serius. Wakaf adalah model yang selama ini kita cari. Kita wajar fahami kenyataan bahawa untuk bangunkan Malaysia ini, jangan semua dibebankan pada kerajaan kerana kemampuan kerajaan ada batasnya. Sebaliknya, semua umat Islam harus tampil dan sama-sama membangunkan Malaysia melalui wakaf dan infak. Sama ada dalam bentuk harta, wang ringgit, barang dan peralatan atau apa jua yang mereka rasakan wajar dan bermanfaat. Agar kita dapat menjayakan Malaysia yang maju dan berjaya.

Marilah kita berlumba-lumba buat kebaikan, berganding bahu untuk meneroka potensi dan kekuatan wakaf seluas-luasnya. Cari jalan dan kaedah terbaik mengarusperdana dan menguruskan harta waqaf sehingga menjadi kekuatan sebenar pembangunan Malaysia. Johor sentiasa membuka pintu muafakat kepada semua pihak dalam menjayakan usaha murni ini. – Berita Harian

Penulis ialah Menteri Besar Johor

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial