Mengoptimumkan Tenaga Kerja Tempatan

KOTA ISKANDAR, 24 Nov – Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), Orang Asli, pelajar tercicir, serta bekas banduan dan penagih dadah boleh dilibatkan dengan lebih berkesan dalam usaha meningkatkan penggunaan tenaga kerja tempatan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Negeri, R. Vidyananthan, cara sedemikian akan turut membantu mengurangkan kebergantungan ke atas tenaga kerja asing.

“Kerajaan Negeri akan melaksanakan kajian menyeluruh di kalangan pelabur dan industri bagi mengetahui keperluan sebenar pekerja asing dan seterusnya membangunkan satu pelan tindakan untuk meningkatkan penggunaan teknologi automasi serta memberi tumpuan kepada industri yang mempunyai nilai pelaburan yang tinggi tetapi tidak berteraskan tenaga kerja.

“Kerajaan Negeri juga akan mengkaji dan melaksanakan satu insentif kepada syarikat yang bersedia untuk memastikan keutamaan diberikan kepada pekerja tempatan.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Sidang Dewan Negeri Johor, di sini, hari ini.

Tambah beliau, Jabatan Tenaga Kerja sering mengadakan program karnival pekerjaan untuk membantu golongan khas itu mendapatkan pekerjaan dengan dibantu agensi lain seperti Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Jabatan Penjara.

Bagi golongan wanita pula, Vidyananthan menggalakkan sokongan semua pihak untuk menyediakan insentif untuk meningkatkan bilangan tenaga kerja mereka.

“Insentif galakan seperti penyediaan waktu kerja anjal, taska penjagaan kanak-kanak di tempat kerja atau membuat kerja di rumah perlu disokong dengan kerjasama pihak industri untuk merealisasikan perkara ini.

“Akhirnya, kita akan dapat menafikan keperluan pekerja asing secara berperingkat dan mereka hanya diperlukan dalam pekerjaan yang benar-benar tidak dapat diisi oleh pekerja tempatan,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial