Meningkatkan Keupayaan Ibu Tunggal Dan Wanita Berpendapatan Rendah

KOTA ISKANDAR, 24 Nov – Peluang untuk golongan wanita, terutama ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah, meningkatkan keupayaan bagi memperbaiki taraf hidup terus diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Asiah Md. Ariff berkata, menerusi pelaksanaan program-program bantuan, kemahiran dan keusahawanan, mereka akan dapat menjana pendapatan serta mendapat peluang pekerjaan dalam sektor perniagaan.

“Untuk program bantuan, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) menyediakan RM3,000 untuk bantuan peralatan bagi ibu tunggal atau wanita yang telah mempunyai kemahiran untuk menjalankan aktiviti perniagaan.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula memberi Bantuan Geran Pelancaran sebanyak RM2,700 kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Sidang Dewan Negeri Johor, di sini, hari ini.

Tambah beliau, antara tahun 2010 sehingga April 2016, seramai 562 orang wanita telah menerima bantuan daripada kedua-dua JKM dan YPKDT.

Bagi kemahiran pula, Asiah memaklumkan golongan wanita dibantu melalui YPKDT, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).

“Antara kursus serta inisiatif yang kita laksanakan ialah Program Menjana Pendapatan Ibu Tunggal oleh YPKDT, MamaCare oleh LPPKN, Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (I-KIT) dan Inkubator Keusahawanan Wanita (I-KEUNITA) oleh JPW.

“Selain itu, Kerajaan Negeri turut menganjurkan Women Netpreneur Programme sebagai inisiatif di bawah Pelan Pertumbuhan Strategik Johor untuk menjalankan urusniaga secara online dengan bimbingan pakar dari Universiti Kebangsaan Malaysia,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial