MH370 Menyatukan Malaysia

MH370

Tanggal 8 Mac 2014 merupakan satu detik hitam buat negara ini. Ia berikutan berita yang menggemparkan negara malah dunia apabila pesawat milik syarikat penerbangan kebanggaan kita iaitu Malaysia Airlines (MAS) MH370 didapati hilang daripada radar. Berita tersebut membuatkan semua rakyat Malaysia tertanya-tanya apakah nasib yang berlaku kepada 239 penumpang dan anak kapal pesawat MH370 itu.

Sejak berlakunya kejadian itu, Malaysia mula menjadi tumpuan berita di seluruh dunia. Baik agensi berita dari negara maju mahupun dari negara dunia ketiga, kesemuanya berminat dan berkampung di The Everly Hotel, Putrajaya, untuk menghadiri sidang media oleh pihak berkuasa yang diadakan setiap hari.

Bagi seluruh rakyat Malaysia tidak kira bangsa dan kepercayaan agama, kesemuanya terpaku di depan televisyen untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai misi mencari dan menyelamat pesawat tersebut. Bagi generasi muda pula, telefon pintar tidak pernah lepas dari tangan mereka kerana sentiasa mahu menjadi ‘orang pertama yang tahu’ mengenai berita tanpa tapisan yang tersebar di laman sosial.

Cerita mengenai kejadian pesawat (MAS) MH653 yang terhempas di Kampung Ladang, Tanjung Kupang, pada Disember 1977 lalu juga kembali menjadi bahan bualan bukan sahaja rakyat negeri Johor malah di seluruh dunia. Tugu peringatan yang dibina bagi memperingati tragedi tersebut yang terletak di Tanjung Kupang Memorial, Jalan Kebun Teh, juga kembali menjadi tumpuan walaupun sebelum ini ia dipandang sepi.

Apa pun ceritanya, bukanlah niat Kawan untuk menghuraikan mengenai misteri kehilangan pesawat MH370 itu. Sebaliknya, Kawan ingin berkongsi mengenai hikmah di sebalik misteri tersebut. Ini kerana, sejak berita mengenai misteri kehilangan pesawat itu, Kawan dapat lihat betapa rakyat Malaysia, tidak kira bangsa, kepercayaan mahupun daripada pelbagai latar belakang agama semuanya bersatu mendoakan agar pesawat itu dapat ditemui semula dengan kesemua penumpang dan anak kapalnya selamat kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

Masjid di seluruh negara termasuk di negeri Johor juga kesemuanya menganjurkan solat hajat bagi memohon doa kepada Allah S.W.T. supaya dipermudahkan misi mencari dan menyelamat pesawat MH370 itu. Penganut agama lain turut sama berdoa di tempat ibadat mereka dengan cara serta kepercayaan masing-masing. Kawan juga sempat beberapa kali menyertai solat hajat tersebut di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru dan Masjid Wadi Hassan.

Apa yang lebih membuatkan Kawan bangga adalah apabila generasi muda yang sebelum ini dilihat sebagai ‘anti establishment’ oleh sesetengah pihak yang ‘duduk di bawah tempurung’ turut sama membuktikan bahawa mereka juga cintakan negara ini.

Cara sokongan generasi muda ini berbeza. Mereka meluahkan segala-galanya di media sosial, baik di laman Twitter, Facebook mahupun Instagram. Ini dapat dilihat apabila #MH370, #PrayForMH370 dan #DoaUntukMH370 terus menerus menjadi ‘trending’ di laman Twitter. Ada juga anak muda yang kreatif menggunakan pelbagai cara untuk menyuarakan harapan mereka termasuk menerusi gambar-gambar grafik yang disebarkan di laman sosial. Kadang-kadang Kawan tengok generasi muda kita ini sebenarnya lebih sayangkan negara berbanding sesetengah pihak ‘katak di bawah tempurung’ yang hanya tahu melihat generasi muda sebelah mata.

Kalau nak diikutkan, banyak lagi bukti yang menunjukkan bahawa majoriti rakyat Malaysia sebenarnya cintakan perpaduan di negara kita ini. Buktinya, apabila ada media antarabangsa melontarkan pelbagai tuduhan mengenai Malaysia termasuk mengaitkan Islam dengan pengganas, ramai rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam tampil mempertahankan rakan-rakan mereka yang beragama Islam. Inilah bukti bahawa kerajaan kita sebenarnya telah berjaya memupuk semangat perpaduan dan bersatu-padu di kalangan rakyat selama ini. Tahniah Kawan ucapkan.

Sehingga hari ini, seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa masih mendoakan yang terbaik supaya misi mencari dan menyelamat itu berjaya. Seperti yang telah beberapa kali diungkapkan oleh Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebelum ini, bahawa pasukan misi mencari dan menyelamat kita tidak akan sesekali menyerah kalah.

Kawan dan rakan-rakan Kawan di Unit Media dan Komunikasi, Pejabat Menteri Besar Johor akan sentiasa medoakan supaya misi mencari dan menyelamat menemui kejayaan. Syabas juga kepada Datuk Seri Hishammuddin dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahya kerana berjaya mengendalikan soalan daripada ratusan media tempatan dan antarabangsa setiap hari dengan jayanya. Kawan angkat topi.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial