MIC JOHOR LANTIK MUKA BAHARU

MIC_logo

JOHOR BAHRU – MIC Johor hari ini melantik beberapa muka baharu menganggotai Jawatankuasa Perhubungan Negeri yang dilihat akan memantapkan jentera parti bagi menjaga kepentingan masyarakat India.

Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MIC Johor, Datuk M Asojan berkata, pada masa sama, kehadiran muka baharu ini dijangka dapat mengukuhkan jentera Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Pelantikan kesemua ahli jawatankuasa baharu yang berkuat kuasa hari ini, terdiri daripada R Sabapathy, R Kumaran dan GS  Murugan, masing-masing merupakan Ketua Bahagian di Pasir Gudang, Parit Sulong dan Sri Gading," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa itu di sini, hari ini.

Menurut Asojan, Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam pada 21 Ogos lepas telah melantik beliau sebagai Pengerusi Jawatan Perhubungan negeri manakala Timbalan dan Setiausaha (jawatankuasa) pula ialah S Kanan dan K Raveen yang masing-masing merupakan Ketua MIC Bahagian Gelang Patah dan Adun Tenggaroh.

Selain itu, katanya, parti turut mengekalkan seorang anggota jawatankuasa terdahulu bagi membantu menerajui jawatankuasa berkenaan.

Dalam mesyuarat berkenaan, Sabapathy dipilih sebagai Penolong Setiausaha, Kumaran sebagai Bendahari, Murugan sebagai Setiausaha Eksekutif manakala Ketua Bahagian MIC Pagoh, G Sivah kekal sebagai Ketua Penerangan, katanya.

Menurut Asojan, jawatan setiausaha eksekutif adalah jawatan baharu dalam parti bagi menguruskan pengurusan pejabat MIC negeri dan pada masa sama bertindak sebagai penghubung kepada media.

Kesemua pelantikan itu telah dimaklumkan kepada kerajaan negeri dan jawatankuasa itu dijangka mengadakan perjumpaan dengan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk melihat langkah-langkah yang boleh dilaksana bagi memperkuat sokongan masyarakat India terhadap BN.

"Kita ingin memperkuatkan jaringan bersama masyarakat India dengan mewujudkan 'war-room' (bilik  gerakan). 'War-room' ini membolehkan kita melihat kekuatan sokongan masyarakat India pada masa ini dan bagaimana kita hendak mengangkat kekuatan itu untuk membantu kerajaan dalam pilihan kelak," katanya.

Sementara itu, katanya hari penamaan calon bagi Pergerakan Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri MIC cawangan akan berlangsung pada 12 September di Pejabat MIC Ayer Hitam dan Pejabat MIC Yong Peng dari pukul 10 hingga 12 tengah hari manakala peringkat bahagian pada 18 September dari 4 hingga 6 petang di Dewan Orang Ramai Jalan Besar, Yong Peng.

Jika terdapat sebarang pertandingan, ia akan dijalankan pada 26 September di bahagian terlibat dan penamaan kali ini melibatkan 22 bahagian, katanya. – Bernama

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial