Minggu Sains Teknologi & ICT

misti

MINGGU Sains Teknologi dan ICT Negeri Johor (MISTI Johor 2014) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada 15 hingga 21 April 2014 lalu terus memupuk minat serta kesedaran masyarakat Johor terhadap bidang sains dan teknologi.

Program dwitahunan itu berperanan menyalurkan informasi terbaharu berkaitan sains, teknologi dan juga komunikasi kepada pengunjung sekali gus bertindak sebagai hab sehenti yang menyediakan maklumat serta pameran berkaitan dengan ketiga-tiga bidang berkenaan.

Secara tidak langsung, program sebegini berupaya membuka mata pengunjung mengenai kepentingan bidang berkenaan untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian, seiring dengan teknologi kontemporari yang semakin canggih.

Menurut Pengarah Unit Sains Teknologi dan ICT Negeri Johor (USTICT), YBM Tunku Zahrah Tunku Osman, program yang memasuki tahun kelima ini bertema “Ke Arah Komuniti Pintar” bagi mewujudkan kesedaran masyarakat mengenai kebaikan serta keburukan penggunaan teknologi yang semakin mendapat perhatian semua peringkat umur, terutama aspek keselamatan dalam media sosial.

“Sejajar dengan kemajuan teknologi komunikasi, penyaluran maklumat dilakukan dalam tempoh yang cepat dan bebas tanpa sebarang sekatan melalui penggunaan Internet pada telefon mudah alih dan sambungan tanpa wayar, juga dikenali sebagai media baru.

“Melaluinya juga medium media baru seperti Facebook, Instagram, Whatsapp serta aplikasi lain telah menjadi pilihan pengguna bukan sahaja belia malah kalangan yang sudah berumur. Medium ini juga telah menyebabkan ketagihan kepada penggunanya. Justeru, perkara ini perlu mendapat perhatian semua pihak, terutama pengguna supaya mereka tahu had dan keperluan untuk melindungi maklumat peribadi daripada diketahui umum bagi mengelakkan berlaku jenayah siber,” katanya.

MISTI Johor 2014, kata beliau, turut memberi tumpuan menarik dan mendorong minat generasi muda terhadap bidang berkaitan mereka kini dilihat kurang berminat untuk menceburkan diri di dalam bidang sains dan teknologi.

“Oleh itu, diharapkan dengan penganjuran program seperti ini dapat memupuk minat, sekaligus memberi pendedahan bagi menjadikan bidang ini sebagai kerjaya pada masa hadapan, selain bersama-sama menyumbang ke arah pembangunan negara melalui bidang ini,” katanya.

YBM Tunku Zahrah berkata, kira-kira 50 agensi daripada sektor kerajaan dan swasta telah mengambil bahagian pada MISTI Johor 2014 sekaligus memeriahkan program ini melalui penganjuran ekspo, pameran, seminar, bengkel, demonstrasi, pertandingan, permainan serta aktiviti lain.

“Antara aktiviti yang menarik minat pengunjung, termasuk pameran kereta elektrik, pameran teknologi hologram, pameran sains dan produk teknologi seperti telefon pintar Samsung.

“Selain itu, pengunjung berpeluang menyertai aktiviti ‘Malam Astronomi’ yang membolehkan mereka membuat cerapan dan mendengar perkongsian maklumat daripada Jabatan Mufti Johor, Yayasan Angkasawan Malaysia, Agensi Angkasa Negara, Planetarium Negara dan Persaid Telescope,” katanya.

Sementara itu, bagi memastikan masyarakat mendapat impak daripada program ini, USTICT telah menyediakan pelbagai aktiviti seperti interaktif sains, bengkel teknologi hijau dan pertandingan reka cipta yang diharapkan dapat membantu membuka minda dan mata masyarakat untuk menimbulkan minat mereka terhadap sains.

Pengunjung juga berpeluang menghadiri bengkel yang dikendalikan Dr Graham Walker yang dikenali menerusi program Science Show yang memaparkan pertunjukan sains dengan kaedah yang mudah serta interaktif dan boleh diterapkan dalam kehidupan seharian.

Tarikan lain pada MISTI Johor 2014 ialah Bicara Santai Bersama Mejar Dr Faez Khaled, yang melibatkan audien pelajar sekolah. Pada program ini, pengunjung berpeluang berkongsi pengalaman Angkasawan Kedua Negara itu selain mengetahui lebih lanjut mengenai ilmu astronaut.

MISTI Johor 2014 turut dimeriahkan dengan pameran geng bas termasuk daripada Legoland dan Jabatan Kesihatan Johor selain berjumpa dan bergambar bersama maskot terpilih seperti Boboiboy, Eicak dan Spaceman.

 

Pengisian MISTI Johor 2014 Mantap

Rata-rata pengunjung MISTI Johor 2014 berpuas hati dengan pengisian pada tahun ini yang dilihat lebih mantap dengan pelbagai informasi serta pengenalan produk-produk baharu dalam bidang sains dan teknologi.

Antara pameran inovasi yang mendapat perhatian ialah teknologi hologram 3D di ruang pameran iFloor di mana ia memberi peluang pengunjung merasai sendiri pengalaman menyentuh paparan interaktif grafik hologram 3D.

Selain itu, di kawasan pintu masuk ke ruang pameran turut disediakan paparan kolam ikan hologram 3D, di mana pengunjung boleh merasai pengalamanan seolah-olah memijak kolam yang sebenar.

Jika sebelum ini, kita hanya berpeluang menonton teknologi hologram 3D menerusi filem Barat seperti Star Wars, tetapi di MISTI Johor 2014, pengunjung boleh mencuba sendiri pelbagai aktiviti interaktif yang disediakan berkaitan teknologi hologram 3D.

Sesungguhnya, penggemar filem genre teknologi amat teruja dengan pameran inovasi dan teknologi seperti ini.

 

Sistem e-rumahjohor

Pelancaran Sistem e-rumahjohor turut mengambil tempat di MISTI Johor 2014. Idea yang dicetuskan Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Mohamed Khaled Nordin, itu direalisasikan oleh USTICT apabila mengambil langkah membangunkan sistem berkenaan dengan kerjasama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Abd Latif Bandi bersama Ketua Penolong Setiausaha Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Encik Rafi Abdullah.

Sistem e-rumahjohor telah dilancarkan pada 15 April 2014 dan secara rasmi beroperasi pada 16 April 2014, di mana orang awam boleh mendaftar dan memohon rumah mampu milik dan kos rendah yang telah disediakan oleh kerajaan negeri melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Bahagian Perumahan, secara dalam talian.

Aplikasi erumahjohor juga akan meningkatkan kecekapan kerajaan negeri dari segi mengutamakan daerah atau kawasan yang lebih memerlukan pembangunan projek perumahan mampu milik.

Secara tidak langsung, aplikasi ini berupaya untuk membantu kerajaan negeri merancang dengan lebih teliti, sekali gus memastikan bekalan rumah tidak melebihi permintaan serta tidak membebankan pemaju perumahan yang terlibat.

Sistem ini juga memudahkan pemohon untuk membuat semakan status permohonan secara atas talian selain tidak akan berhadapan dengan masalah kehilangan borang. Malah sistem ini berupaya membantu memudahkan simpanan data pemohon apabila Lembaga Perumahan Hartanah Negeri Johor beroperasi pada masa akan datang.

Orang awam yang berminat boleh melayari menerusi portal rasmi kerajaan negeri atau terus ke laman sesawang erumah.johor.gov.my

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial