MP PASIR GUDANG NAFI MAHU GULING KERAJAAN

photo_2015-08-17_23-49-25

JOHOR BAHRU – Kira-kira 300 pengundi Parlimen Pasir Gudang berkumpul di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, sini, hari ini untuk membuat bantahan secara aman.

Ini berikutan mereka tidak berpuas hati apabila Ahli Parlimen mereka, Normala Abdul Samad tersenarai dalam 20 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang terlibat dalam komplot menggulingkan kerajaan yang tersebar di media sosial.

Menurut Normala, beliau kesal dengan fitnah mengaitkannya bersama 19 Ahli Parlimen BN yang lain kerana ia boleh menjatuhkan reputasi serta kredibilitinya yang menyokong dasar kerajaan.

"Malah ia boleh melaga-lagakan pemimpin BN serta menimbulkan perpecahan di kalangan rakyat Malaysia khususnya penduduk di kawasan Parlimen Pasir Gudang.

"Saya percaya fitnah ini merupakan perbuatan sesetengah individu yang berniat jahat dan ingin menambahkan keraguan masyarakat setempat terhadap pemimpin-pemimpin mereka," katanya selepas membuat laporan polis di IPD Seri Alam, di sini, hari ini.

Beliau mengecam sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan dan menyangkal dakwaan penglibatannya secara langsung atau tidak langsung dalam gerakan menggulingkan kerajaan BN.

"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa sebagai seorang Ahli Parlimen Pasir Gudang dan Ketua Pergerakan Umno Bahagian Pasir Gudang, saya mendukung kenyataan Menteri Besar Johor semasa persidangan Umno Bahagian Pasir Gudang 9 Julai lalu.

"Beliau ada menyebut bahawa Umno hanya satu nakhoda iaitu Presiden Umno dan kita mesti memberikan kepercayaan untuk dia mengemudi bahtera ini," katanya.

Justeru, beliau meminta supaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas dengan segera bagi mengekang penularan maklumat palsu yang boleh menjejaskan reputasi dan mampu melumpuhkan kepercayaan rakyat dan kepimpinan negara -SH

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial