MPK Sediakan Kemudahan Parkir Warga Emas

Nasri (kiri) bersama Md Jais melakukan gimik perasmian dengan mengecat simbol warga emas di petak disediakan MPK.

KLUANG, 6 April – Majlis Perbandaran Kluang (MPK) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini yang menyediakan petak tempat letak kereta bagi warga emas.

Yang Dipertua (YDP) MPK, Nasri Md Ali berkata, tujuan utamanya adalah untuk memberi kemudahan lebih selesa kepada golongan itu ketika melakukan aktiviti harian di dalam kawasan pentadbiran MPK.

Jelasnya, usaha MPK itu juga sebagai inisiatif menyantuni golongan pembayar cukai terutama warga emas.

“Kemudahan ini sebagai langkah meningkatkan imej MPK dan menjadi PBT pertama di Malaysia sekiranya petak warga emas ini disediakan.

“Mulanya MPK sedia 23 petak warga emas di sekitar Bandar Kluang dan kita cadang untuk sediakan kira-kira 158 petak, yang dilakukan secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Gerak Kerja Rakan Taman 2017, Majlis Perluasan Perkhidmatan Bas Muafakat Johor, Pelancaran Tapak Kereta Warga Emas dan Laman Persona di Dewan Jubli Intan Kluang, semalam.

Nasri berkata, penyediaan petak khusus untuk warga emas itu juga tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Ujarnya, antara syaratnya adalah pengguna itu mesti berusia 60 tahun ke atas, mempunyai lesen memandu yang sah selain perlu pamerkan pelekat warga emas yang boleh diperolehi di MPK.

“Pelekat khas untuk warga emas itu boleh dibeli pada harga RM5 di kaunter MPK. Bagaimanapun, bagi lokasi diwartakan jalan dan termasuk dalam kawasan operasi penguatkuasaan kupon, kupon tetap perlu dipamerkan.

“Kegagalan mempamerkan kupon dan stiker warga emas akan menyebabkan mereka dikompaun.

“Syarat penggunaan petak letak kereta akan dimaklumkan kepada orang awam sama ada melalui laman web atau laman sosial Facebook Majlis Perbandaran Kluang atau lain-lain cara yang difikirkan sesuai,” katanya.

Pada majlis yang sama, MPK turut melancarkan Gerak Kerja Rakan Taman bagi dua kawasan iaitu di Flat Taman Bersatu dan Flat Haji Manan Kluang.

Hadir sama Adun Mahkota, Datuk Md. Jais Sarday. – SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial