MPPG Bina Laluan Pejalan kaki, Lorong Basikal

Hasrin Kamal Hashim

PASIR GUDANG, 18 April – Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) akan membina laluan khas bagi pejalan kaki dan lorong basikal di kawasan Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang sepanjang dua kilometer pada hujung tahun ini.

Yang Dipertuanya, Hasrin Kamal Hashim memberitahu, inisiatif berkenaan untuk mengajak masyarakat setempat mengamalkan budaya hidup sihat selain mengurangkan pengeluaran gas karbon dioksida.

Menurutnya, projek tersebut bakal dibangunkan dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.

“Pasir Gudang merupakan sebuah bandar perindustrian, namun itu tidak bermakna kami tidak mengambil berat tentang faktor kehijauan dan kebersihan alam sekitar.

“Matlamat kami untuk membangunkan sebuah bandar yang seimbang, iaitu bukan sahaja lokasi untuk bekerja, malah merupakan kawasan kediaman yang selesa,” katanya selepas menghadiri program ‘Our Earth, Our Home’ anjuran Johor Land Berhad (JLand) di Taman Bukit Dahlia, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden (Perancangan dan Pembangunan) JLand, Mohd. Razif A. Rahim; Naib Presiden (Kewangan Kumpulan dan Bisnes) JLand, Mariana Sidi dan Pengurus Besar Jabatan Pemasaran Dokumentasi Jualan JLand, Mohd. Hizam Abdul Rauf.

Hasrin Kamal turut memberitahu, pihaknya juga akan membangunkan tanah perkuburan tersusun dan sistemik di kawasan perkuburan Islam Jalan Kongkong-Masai dengan peruntukan lebih RM4 juta daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

“Tanah perkuburan itu akan dibangunkan di tanah seluas 29 hektar bersebelahan tanah perkuburan Islam sedia ada di kawasan berkenaan.

“Pembinaan tanah perkuburan sistematik itu bertujuan untuk menampung keperluan penduduk seramai 320,000 orang yang kini menetap di kawasan pentadbiran MPPG,” katanya. – UTUSAN.

CAPTION:
Hasrin Kamal Hashim

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial