MTIB SASAR 30 PENGEKSPORT KAYU BUMIPUTERA PADA TAHUN 2020

Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB)

JOHOR BAHARU – Lembaga Perindustrian Perkayuan Malaysia (MTIB) menyasar untuk meningkatkan jumlah syarikat bumiputera yang mengeksport kayu dan barangan kayu daripada sembilan kepada 30 pada 2020, kata Ketua Pengarah Dr Jalaluddin Harun.

Beliau berkata untuk mencapai sasaran itu, MTIB bekerjasama dengan SME Corp Malaysia bagi menawarkan pinjaman tanpa faedah antara RM20,000 dan RM200,000 kepada usahawan bumiputera di bawah Program Sokongan Bahan Mentah.

Skim itu membantu melalui pemerolehan bahan mentah bagi membolehkan syarika menyiapkan proses barangan untuk kontrak kerja yang disahkan.

"Program ini akan membantu usahawan bumiputera meningkatkan pengeluaran mereka dan kualiti produk memandangkan beberapa syarikat masih menggunakan teknologi yang berusia lebih 10 tahun.

"Apa yang kita lakukan adalah membeli mesin terkini, dan menyewakan ia kepada syarikat berkenaan," katanya kepada pemberita semasa lawatan media ke kawasan perindustrian perkayuan selama tiga hari di sini anjuran MTIB.

Menurut Jalaluddin, usahawan bumiputera, yang memulakan program itu dengan taraf dua bintang, perlu memajukan perniagaan mereka untuk meraih taraf empat bintang bagi tempoh empat tahun kemudian.

Sistem penarafan itu merupakan kaedah untuk menilai pencapaian mereka, katanya, dengan menambah MTIB juga mahu melahirkan sekurang-kurangnya empat syarikat bertaraf lima bintang pada 2020.

"Kami turut memeriksa kesemua syarikat ini mengikut tujuh teras termasuk pengurusan, penyelidikan dan pembangunan, pemasaran, kebolehcapaian dan teknologi," katanya.

Tahun lepas, negara mengeksport kayu dan barangan kayu bernilai RM20.5 bilion, dengan firma bumiputera menyumbang hanya 1.8 peratus daripada keseluruhan eksport.

Bagi melayakkan untuk mengikuti Program Sokongan Bahan Mentah, syarikat itu perlu dimiliki penuh oleh bumiputera, mengeluarkan barangan berasaskan kayu, dan mempunyai kontrak yang masih berkuatkuasa.

Syarikat itu juga bukan dalam proses pembubaran, dengan tiada anggota Lembaga Pengarah yang bankrap, dan menjalani AUDIT Penarafan Daya Saing PKS untuk Peningkatan (SCORE) serta Penarafan Daya Saing Perusahaan Mikro untuk Peningkatan (M-CORE) oleh MTIB atau SME Corp. – BERNAMA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial