Muafakat Kerajaan Johor Dengan IPT Demi Pembangunan Negeri

1205_UTM

 

Pada 21 Mac lalu, Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin telah melancarkan penubuhan Institut Inovasi Strategik Johor atau dikenali sebagai IISJ di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai.

Penubuhan IISJ mempunyai kaitan dengan usaha Kerajaan Negeri Johor untuk memacu pertumbuhan ekonomi Johor di bawah Gagasan Johor Berkemajuan dan Pelan Pertumbuhan Strategik Negeri Johor. Apa yang menarik, Menteri Besar Johor telah menjalankan insiatif penubuhan IISJ dengan kerjasama beberapa buah universiti awam dan swasta, politeknik dan kolej yang terdapat di Johor.

Sebenarnya Mohamed Khaled mempunyai hubungan yang mesra dan sentimental dengan universiti. Beliau pernah menjadi Menteri Pengajian Tinggi sebelum dilantik menjadi Menteri Besar Johor pada Mei 2013. Sebab itulah kelibatnya sering berada di kampus-kampus universiti, walaupun sibuk dengan tugas-tugas rasmi menerajui Kerajaan Negeri Johor.

Oleh kerana kedudukan kampus UTM berdekatan dengan Iskandar Puteri, beliau sering ke UTM untuk merasmikan pelbagai acara dan membuat engagement bersama mahasiswa. Beliau juga berkunjung ke kampus Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Batu Pahat bagi pelancaran program mahasiswa Johor yang dijenamakan sebagai Duta Jauhar dan merasmikan Makmal Kajian Biodiesel dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Petroleum Johor (JPDC).

Di kawasan Parlimennya sendiri, Mohamed Khaled sentiasa berkunjung dan memantau perkembangan pusat pengajian tinggi di Seri Alam dan Pasir Gudang, yang melibatkan kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Politeknik Ibrahim Sultan, Kolej Komuniti, Institut Latihan Perindustrian (ILP) serta Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Selain itu, Kerajaan Johor juga menjalankan kerjasama dengan beberapa buah universiti tempatan yang lain. Kesemua ini menunjukkan betapa rasa dekatnya hati pemimpin Johor itu dengan bidang pendidikan tinggi.

Mohamed Khaled pernah mengakui bahawa pengalamannya mentadbir pelbagai kementerian, namun tugasnya sebagai Menteri Pengajian Tinggi adalah yang paling meninggalkan kesan yang signifikan pada dirinya. Hal ini disebabkan beliau sering berurusan dengan institusi pendidikan tinggi negara dan membuat engagement dengan barisan Naib Canselor Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) serta dengan para profesor universiti, termasuklah Majlis Profesor Negara.

Justeru, beliau amat teruja dan berharap bagaimana sesebuah universiti, apatah lagi yang terletak di negeri Johor boleh memainkan peranannya dan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Johor untuk membangunkan agama, bangsa dan tanahair. Beliau berpendapat universiti adalah institusi pendidikan yang unik dan istimewa. Ia memancarkan ketinggian peradaban dalam sistem pendidikan negara di peringkat nasional dan global.

Sebenarnya gagasan Johor Berkemajuan dan Pelan Pertumbuhan Strategik Negeri Johor mesti berhubungkait dengan pendidikan. Hal ini dimanifestasikan dalam pembangunan sesebuah peradaban, apabila asas kejayaannya ialah bidang pendidikan.

Mohamed Khaled sendiri mengkagumi sejarah pendidikan di Johor. Sejak akhir abad ke-19, Johor merupakan di antara negeri yang paling awal mewajibkan serta memartabatkan pendidikan formal di kalangan rakyat.

Bermula tahun 1902, almarhum Sultan Ibrahim mewartakan suatu enakmen yang mewajibkan kanak-kanak berusia tujuh tahun mendapat pendidikan di Johor. Dalam enakmen tersebut, setiap ibu bapa akan didenda sebanyak $25 sekiranya gagal menghantar anak mereka ke sekolah.

Natijahnya, Johor telah memperkasa pendidikan di seluruh daerah sejak awal abad yang ke-20. Johor juga memberi peluang kepada rakyatnya untuk mendapat pendidikan Inggeris di High School yang terdapat di lima buah daerah.

Keunikan Johor terserlah apabila pada tahun 1880-an, negeri itu telah menawarkan Biasiswa Kerajaan Johor untuk membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Hal ini menggambarkan betapa futuristiknya kepimpinan terdahulu iaitu almarhum Sultan Abu Bakar dan Sultan Ibrahim untuk membangunkan negeri Johor yang bertunjangkan keilmuan dan pendidikan.

Mohamed Khaled mempunyai pemikiran yang kritis terhadap peranan universiti. Menurutnya, institusi pendidikan tinggi adalah sebuah institusi dan instrumen pengislahan bangsa yang paling penting bagi sesebuah negara. Menerusi universitilah, sesebuah bangsa dapat menonjolkan ketinggian ilmu dan daya keintelektualan untuk dimasyarakatkan.

Jelasnya, kewujudan sesebuah universiti perlu menterjemahkan sinar dan impaknya kepada rakyat jelata. Dalam banyak pertemuan, Menteri Besar Johor itu sering mengingatkan bahawa sesebuah universiti perlu memainkan tiga peranan hakiki yang utama iaitu mendidik anak bangsa, merekayasa ilmu-ilmu baharu menerusi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan berkongsi keilmuan dengan khalayak masyarakat.

Sehubungan itu, para ilmuan tidak boleh memonopoli ilmu yang mereka miliki. Mereka tidak boleh menyembunyikan ilmu yang banyak di dalam dada. Para ulama selalu menasihatkan bahawa golongan ilmuwan yang tidak berkongsi ilmunya, dibimbangi mereka umpama “pohon yang tidak berbuah”.

Dalam konteks inilah Kerajaan Negeri Johor sentiasa bersama dan bersinergi dengan IPTA dan IPTS yang terdapat di seluruh negara, demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri yang inklusif. Sebab itulah Mohamed Khaled lebih cenderung mengaitkan universiti dengan istilah Menara Ilmu berbanding istilah Menara Gading.

Menurutnya, universiti adalah Menara Ilmu yang memercikkan keilmuannya, kepakarannya dan kemahirannya kepada rakyat keseluruhannya. Tambahan pula IPTA dibangun dan diurus menerusi dana rakyat. Perhatikanlah pencapaian Malaysia umumnya dan Johor khususnya sejak tahun 1970. Segala pencapaian yang memberangsangkan tersebut adalah ekoran daripada ikhtiar para pendiri dan pemimpin bangsa kita.

Selepas pelancaran Dasar Ekonomi Baharu, pihak kerajaan membuka seluas-luasnya peluang dalam pendidikan tinggi. Negeri Johor tidak terkecuali. Kita melahirkan ramai pemimpin tersohor seperti Dato’ Abdul Rahman Andak, Dato’ Onn Jaafar, Tan Sri Noah, Tun Dr. Ismail, Tun Hussein Onn, Tun Musa Hitam, Tun Sardon Jubir, Tun Dr. Awang Hassan, Prof. Ungku Omar, Prof. Ungku Aziz dan ramai lagi.

Berkat kepimpinan terdahulu, Johor turut mencipta kejayaan ekonomi yang hebat, kebangkitan bangsa yang bermaruah dan kemunculan negeri yang disegani, melahirkan bakat terbaik bangsa Johor yang mendapat pelbagai pengiktirafan.

Jelasnya, kita semua mendapat manfaat dan berkatnya dari perjuangan kepimpinan terdahulu untuk memartabatkan pendidikan tinggi. Justeru, kita jangan lupa bahawa kejayaan kita masa kini adalah hasil idea dan keringat kepimpinan terdahulu.

Dalam konteks inilah, Mohamed Khaled mempunyai hubungan yang amat akrab dengan pusat pengajian tinggi. Ini membolehkan pihak universiti dan Kerajaan Negeri berganding bahu dan bersinergi demi pembangunan rakyat.

Masa depan negara dan bangsanya bergantung pada kemanfaatan ilmu pengetahuan. Jelasnya pencapaian dan pertumbuhan ekonomi amat bergantung kepada ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam kalangan rakyat.

Cerita tentang bagaimana mana kehidupan manusia dalam alam digital bergabung dan saling berkait. Pada masa kini, teknologi maklumat dan komunikasi telah mengubah landskap ekonomi, politik dan sosial. Kesemua ini sebenarnya menunjukkan peranan besar yang perlu dimainkan oleh sesebuah universiti. Atas dasar inilah, beliau menyeru bahawa kita harus sentiasa menjadikan universiti kita sebagai institusi yang terbaik untuk rakyat.

Persoalannya, bagaimana menjadikan universiti kita menjadi sebuah institusi terbaik bangsa? Mohamed Khaled berpendapat terdapat banyak cara untuk membangunkan universiti. Universiti terbaik adalah universiti yang mencurahkan segala usahanya untuk amal dan bakti. Universiti bukan mengutamakan martabat atau upacara. Misi serta segala sumbernya mesti digembleng untuk membantu penyelesaian masalah manusia sejagat.

Universiti tidak perlu mengejar gelaran dan prestij. Universiti mempunyai tanggungjawab besar kepada masyarakat, pada semua kaum, semua lapisan masyarakat. Yang miskin, yang berbeza aliran kepercayaan dan politik.

Masyarakat sekeliling dan negara ini harus menerima manfaat dari limpahan khazanah ilmu universiti. Universiti, secara tradisinya adalah institusi yang paling berpengaruh dalam sesebuah masyarakat.

Timbul pula persoalan kenapa dan bagaimanakah universiti berinovasi? Mohamed Khaled berpendapat IPT perlu dikenali di peringkat nasional dan global adalah melalui penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi. Empat komponen yang dikenal pasti menyumbang kepada aspirasi tersebut adalah hasil ilmiah, elemen inovasi dan pengkomersialan, kepimpinan penyelidikan dan sistem pengurusan penyelidikan.

Dalam pada itu, kepimpinan penyelidikan merupakan komponen paling kritikal. Kepimpinan penyelidikan melibatkan urusan membimbing dan mengurus bakat penyelidik yang ada di IPT. Bagi merealisasikan strategi dan komponen yang dicadangkan di atas, usaha sama erat di antara pelbagai pemegang taruh (stakeholder) amatlah diperlukan, khususnya di antara dua kumpulan sasaran utama iaitu pihak industri dan komuniti.

Hasil penyelidikan berimpak tinggi boleh dinilai sumbangannya dari tiga aspek berikut iaitu pertama, ilmu dan penemuan baharu serta kepakaran yang memberi manfaat dalam bidang ilmu yang diterajui; kedua, pendekatan penyelesaian masalah global melalui penglibatan multidisiplin dan transdisiplin kepakaran; dan ketiga, pemindahan ilmu kepada komuniti. Jelasnya, universiti mampu menyumbang kepakaran secara berterusan untuk pembangunan rakyat.

Pada hemat penulis, inilah yang Mohamed Khaled cita-citakan untuk membangunkan Johor dan rakyatnya secara inklusif di bawah gagasan Johor Berkemajuan. Pelan Suara Hati Rakyat digunakan dengan semaksimumnya untuk mensejahterakan kehidupan rakyat. Tambahan pula Pelan Pertumbuhan Strategik Johor memastikan pembangunan Johor meliputi kesemua 10 buah daerah.

Sebab itu, Mohamed Khaled amat mengalu-alukan kerjasama yang kukuh di antara universiti dan Kerajaan Negeri Johor untuk memperkasa penyelidikan dan inovasi demi memacu pertumbuhan strategik negeri Johor. Pada akhirnya, limpahan ilmu tersebut memberi sinar terang dalam menyuluh kehidupan bangsa Johor.

Penulis ialah Dr. Kassim Thukiman, Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial