Muar Diiktiraf Bandar Terbersih Di Johor

PASIR GUDANG, 13 Dis – Kerajaan negeri mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) meningkatkan usaha penjagaan aspek kebersihan di kawasan masing-masing dengan mencontohi Majlis Perbandaran Muar (MPM) yang diiktiraf sebagai antara lima bandar terbersih di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abd Latif Bandi berkata kerajaan negeri sentiasa mementingkan aspek kebersihan dan menjadikannya antara petunjuk prestasi utama (KPI) setiap PBT.

“Menerusi program Johor Bersih dan Lestari dianjurkan tahun ini, PBT diharap melipatgandakan kebersihan di kawasan masing-masing dan menjadikannya antara KPI.

“Kejayaan PBT Muar ini wajar dicontohi PBT lain terutama aspek kebersihan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Program Transformasi Sosial Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) My Beautiful Neighbourhood (MyBN) Rumah Pangsa Taman Cendana, di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Dr Tam Weng Wah dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad.

Abd Latif berkata, kerjasama penduduk dengan syarikat pembersihan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta badan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menjaga kebersihan membuahkan hasil apabila Muar diiktiraf antara bandar terbersih tahun ini.

“Bandar lain yang turut diiktiraf sebagai terbersih ialah Pekan di Pahang, Rembau, Negeri Sembilan; Langkawi, Kedah dan Putrajaya,” katanya.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial