Muhyiddin, Mukhriz Sudah Diberi Ruang Bukti Kesetiaan

2706_Shahrir
Tan Sri Shahrir Abd Samad. – Foto Hairul Anuar Abd Rahim

JOHOR BAHRU, 27 Jun – Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, sebenarnya mempunyai ruang dan peluang untuk menunjukkan kesetiaan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada dua Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini, tetapi tidak memanfaatkannya.

Sehubungan itu, Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abd Samad berkata keputusan Majlis Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang sebulat suara bersetuju memecat Muhyiddin dan Mukhriz, bukan sesuatu memeranjatkan.

“Memang ada masa untuk Muhyiddin dan Mukhriz menunjukkan komitmen kepada parti walaupun bukan kepada pemimpin kerana BN dan UMNO mempunyai dua PRK.

“Namun ketika itu kita tengok yang datang hanya Datuk Seri Shafie Apdal ketika penamaan calon. Jadi, ini sebenarnya ada peluang, ada ruang untuk tunjuk sikap mereka, macam mana pendirian, adakah menentang pada parti atau pada pemimpin.

“Mereka (Muhyiddin dan Mukhriz) dakwa kata ia mengenai pemimpin, mereka tak marah parti, jadi sepatutnya bila calon parti bertanding, kedua-duanya boleh tunjuk komitmen kepada parti.

“Semua orang perhati, tengok ada ke tak ada (kehadiran Muhyiddin dan Mukhriz), tengok alih-alih Muhyiddin ke pasar di Sungai Besar tetapi tidak pula bersama UMNO dan jentera BN di situ. Jadi, patutnya prinsip kita tak suka kepada pemimpin, kita tunjuk juga sokongan pada parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan sempena Aidilfitri kepada fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) di Dewan Serbaguna Kampung Datuk Sulaiman Menteri, di sini, baru-baru ini.

Beliau mengulas keputusan MT UMNO, yang sebulat suara bersetuju memecat Muhyiddin dan Mukhriz atas kesalahan disiplin, manakala Shafie digantung keahliannya sehingga jawatankuasa disiplin parti menjelaskan hasil laporan mereka berkaitan pelanggaran disiplin Shafie.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial