Murid Sekolah Agama Terima Bantuan Makanan Sihat

NSTP
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd Razak Minhat (dua dari kanan) menyampaikan replika cek Program Makanan Sihat kepada Guru Besar Sekolah Agama Grisek disaksikan Pegawai Pendidikan Islam Daerah Tangkak, Sulaiman Aziz (kanan) pada majlis Khatam Al-Quran dan Penyampaian Cek Program Makanan Sihat Sekolah Agama Daerah Tangkak di Dewan Pejabat Pendidikan Islam Daerah Tangkak dekat Bukit Gambir. – Foto Hai Rozzaman Jalal

TANGKAK, 26 Jun – Seramai 938 murid Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) di daerah ini menerima bantuan Program Makanan Sihat sumbangan kerajaan negeri menerusi peruntukan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) untuk tahun ini.

Pegawai Pendidikan Islam Daerah Tangkak, Sulaiman Aziz, berkata murid daripada keluarga kurang berkemampuan itu akan menerima bantuan makanan sebanyak RM2.50 sehari atau RM320 sepanjang program.

Katanya, bantuan makanan sihat itu untuk 128 hari yang bermula Mei hingga November itu membabitkan peruntukan sebanyak RM300,160.

“Murid yang menerima bantuan Program Makanan Sihat ini membabitkan semua 38 sekolah agama di daerah ini dengan pihak sekolah perlu melaksanakan carta alir yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Khatam al-Quran dan Penyampaian Cek Program Makanan Sihat Sekolah Agama Daerah Tangkak, di Dewan Pejabat Pendidikan Islam Daerah Tangkak dekat Bukit Gambir, baru-baru ini.

Majlis itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd Razak Minhat dan semua guru besar SAKJ daerah Tangkak. – Berita Harian

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial