Najwa Latif Mahu Dikenali Kerana Bakat

najwa latiff

IMRATUL Najwa Abdul Latif atau lebih dikenali sebagai Najwa Latif pernah diiktiraf sebagai penerima Anugerah Ikon Belia Johor pada tahun 2013 berikutan kejayaan dalam bidang nyanyian seawal usia 16 tahun.

Perjalanan seni pada awal usia menjadikan dia seorang yang matang dalam menempuh cabaran sebagai penggiat seni dan pada masa sama juga seorang pelajar.

Bagi menyusun gerak kerjanya yang padat, Najwa dibantu oleh pengurus yang bertindak untuk menyusun jadual seninya supaya tidak bertindih dengan waktu belajar.

Najwa berkata, dia memilih kakaknya, Ika Latif sebagai pengurus kerana kakaknya amat memahami kehendak dan keperluannya.

“Saya mendapat seorang pengurus yang memahami kerjaya dan pada masa yang sama  perlu menumpukan pelajaran. Jadi, jadual masa disusun sebaiknya oleh beliau. Kebanyakan jemputan persembahan atau temujanji akan diambil pada hujung minggu manakala pada hari biasa, saya akan menumpukan konsentrasi sepenuhnya kepada pelajaran,” katanya.

Pembabitan Dalam Bidang Seni

Menceritakan titik permulaan terlibat dengan bidang nyanyian adalah apabila Najwa  berjauhan dengan ayah dan kakaknya sekali gus menyebabkan dia semakin rindu dengan mereka. Bagi mengubati kerinduan itu, Najwa memuatnaik video yang dinyanyikan untuk tatapan dua  insan kesayangannya itu.

“Pada mulanya ia hanya untuk tontonan ayah dan kakak saya yang berada di Kuala Lumpur manakala saya berada di Batu Pahat, Johor.

“Kemudian, ada seorang blogger iaitu Cik Epal yang berkongsi video saya dalam blog beliau dan sejak itu video saya mendapat hit yang tinggi. Bermula dari situlah syarikat NAR Records memanggil saya untuk menjalani uji bakat,” katanya.

Sehingga kini, Najwa masih bernaung dengan NAR Record dan dia mendapat sokongan dan dorongan yang padu dari keluarganya.

Elak Kontroversi, Fokus Belajar

Menjadi artis pada usia muda menjadikan Najwa semakin matang untuk berhadapan dengan sebarang kontroversi. Menurutnya, sokongan padu keluarga membuatkan dia semakin kuat dan yakin untuk terus berada dalam arena seni.

“Saya sentiasa mengambil positif tentang semua perkara. Saya bersyukur kerana mempunyai ahli keluarga yang sangat menyokong pembabitan dalam bidang ini. Mereka banyak beri nasihat supaya sentiasa kuat dan tabah dalam mengharungi semua perkara. Jadi dari situ saya cuba untuk kuatkan diri dan ambil positif setiap perkara yang berlaku,” katanya.

Katanya lagi, dia tidak memerlukan kontroversi untuk menjadi terkenal tetapi hanya mahu dikenali kerana bakat seninya.

Ketika ini, Najwa sedang sibuk untuk menamatkan pengajian dalam bidang Asasi Pengurusan    di Universiti Tunku Abdul Rahman.

“Memandangkan saya datang dari keluarga yang meletakkan pelajaran sebagai keutamaan, maka saya harus memberikan fokus yang lebih dalam bidang ini kerana ia adalah jaminan masa hadapan saya.

“Kalau ada rezeki, saya akan menyambung pelajaran pada peringkat ijazah dalam bidang TESL. Manakala bagi bidang nyanyian, saya akan terus mencipta lagu selagi lagu nyanyian saya diterima ramai,” katanya.

Nasihat Untuk Belia

Walaupun pembabitan Najwa dalam arena muzik boleh dikatakan baru, namun dia mampu membuktikan kemampuannya dalam bidang nyanyian dan juga penciptaan lagu.

Boleh dilihat kebanyakan lagu nyanyiannya adalah hasil ciptaan dia dan kakaknya.

“Menjadi minat saya ketika ini untuk mencipta lagu dan Alhamdulillah ia mendapat sambutan daripada peminat. Saya akan terus berusaha untuk mencipta lagu dan berkarya.

“Kepada semua peminat dan belia, saya mengajak anda semua untuk bersatu dan sokonglah industri muzik di negara kita. Teruskan usaha dan jangan mudah putus asa, kita juga harus ingat di mana kita berpijak dan selalu berfikiran positif,” katanya.

 

 

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial