NAMA GANTI NUSAJAYA DISENARAI PENDEK

SUK DATUK ISMAIL KARIM

JOHOR BAHRU- Beberapa nama telah disenarai pendek malah disifatkan sesuai untuk menggantikan nama Nusajaya dengan mengambil kira kesesuaian sejarah kawasan berkenaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim berkata ia selaras dengan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya kerajaan negeri mencari nama lain yang mempunyai kaitan sejarah di kawasan Nusajaya.

Bagaimanapun nama baharu bagi kawasan yang turut menempatkan Pusat Pentadbiran baharu kerajaan Johor berkenaan tidak boleh didedahkan terlebih dahulu memandangkan ia belum diputuskan.

“Sehubungan dengan titah Sultan Ibrahim, kerajaan negeri akan mengadakan Majlis Mesyuarat Kerajaan mengenai pemilihan nama baharu bagi kawasan Nusajaya.

“Bagaimanapun, nama pusat pentadbiran kerajaan negeri masih kekal sebagai Kota Iskandar yang diambil sempena nama  Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail,” katanya.

Ismail berkata, pemilihan nama Nusajaya diumumkan oleh Mantan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Ghani Othman pada tahun 2006 serentak dengan nama Kulaijaya bagi kawasan Kulai yang diisytiharkan sebagai salah sebuah daerah di Johor.

Nusajaya merupakan sebuah kawasan di koridor ekonomi di Iskandar Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Malaysia kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sebelum koridor wilayah Iskandar itu dibangunkan, Nusajaya merupakan kawasan yang berada di pinggir Johor Bahru membabitkan beberapa penempatan termasuk perkampungan tradisional dan nelayan iaitu Gelang Patah, Tebing Runtuh dan Sungai Melayu.- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial